SHAH ALAM - Sistem monetari atau penciptaan wang yang diamalkan dalam negara dilihat semakin kritikal apabila berlaku trend peningkatan saban tahun.
Timbalan Pengerusi Gerakan Keadilan Monetari, Muhammad Zahid Abdul Aziz berkata, namun begitu masih ramai cerdik pandai dalam kalangan rakyat yang tidak menyedari tentang perkara itu kerana kegagalan memahami sistem tersebut.
"Wang yang dicipta ini bukanlah wang kertas atau syiling seperti yang berada dalam tangan rakyat. Ia adalah wang dalam bentuk nombor yang terdapat dalam akaun bank seseorang individu itu.
"Sebagai contoh katanya, jika seseorang itu membuat pindahan wang dari akaun banknya kepada akaun bank individu lain, itulah bentuk wang yang disebut sebagai 'online money'," katanya selepas menjadi panel Seminar Ekonomi Hutang di sebuah hotel di sini, hari ini.
Menurutnya, 'online money' diperakui beberapa bank termasuk Bank of England sebagai tercipta apabila bank membuat pinjaman/pembiayaan. Ia adalah sebanyak 97 peratus wang yang ada dalam tiap-tiap negara di dunia ini. Wang ini dicipta oleh bank-bank swasta.
"Sepatutnya penciptaan wang dikawal oleh kerajaan tapi apabila diserahkan kepada bank swasta mereka hanya bertindak untuk keuntungan mereka dan memberi pinjaman sebanyak mungkin kepada rakyat dan semakin tinggi bilangan pinjaman diberikan bermakna semakin banyak penciptaan wang berlaku.
"Apabila bank memberi pinjaman terlalu banyak kepada sektor bukan ekonomi sebenar, ia akan menghasilkan banyak wang yang tidak sepadan dengan jumlah barang dan khidmat sesuatu ekonomi," katanya.
Muhammad Zahid berkata, secara purata bank seluruh dunia hanya menghala 16 peratus jumlah pinjaman kepada ekonomi sebenar, manakala 84 peratus kepada pinjaman peribadi, kad kredit, perumahan, hartanah komersial dan sektor kewangan.
"Maka berlakulah inflasi iaitu kecurian kuasa beli rakyat. Inflasi ini juga tidak akan dapat dihapuskan jika sistem monetari yang ada tidak direformasikan. Keupayaan bank untuk mencipta wang perlu ditarik balik," katanya.
Menurutnya, pelbagai masalah dihadapi negara terutamanya isu lambungan harga makanan, barang, perumahan, jurang kemiskinan serta pengangguran dalam kalangan graduan juga adalah berpunca dari sistem monetari yang diamalkan.
Sementara itu, Exco Pertubuhan Gerakan Keadilan Monetari, Datuk Abdul Manap Abdul Wahab berkata, memandangkan trend penciptaan wang ini semakin meruncing, ia tidak boleh diambil mudah.
"Para pemikir serta pakar ekonomi dan kerajaan harus duduk bersama, berbincang bagi mencari satu mekanisme untuk menangani perkara tersebut," katanya.
Sementara itu, seramai 90 peserta terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi dan orang ramai menyertai seminar anjuran Pertubuhan Gerakan Keadilan Monetari bersama Majlis Perundangan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).