Fungsi, peranan kabinet perlu hala tuju jelas

Iklan
Ismail ketika menjadi panelis Program Sinar Live bertajuk 'Cabaran Kabinet Kecil Anwar’ yang disiarkan di platform digital Sinar Harian pada Ahad.

SHAH ALAM - Fungsi dan peranan kabinet perlu ada hala tuju yang jelas terutamanya dalam menyelesaikan kemelut ekonomi, kestabilan politik serta meletakkan kembali negara ke landasan yang betul.

Pengarah Eksekutif Institut Darul Ehsan, Datuk Ismail Yusop berkata, aspek tersebut dilihat memberi cabaran besar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan kabinet Kerajaan Perpaduan yang bakal dibentuk.

Iklan
Iklan

"Itu ada kaitan dengan sistem urus tadbir tatakelola kenegaraan kita. Di Parlimen sama ada pihak kerajaan atau pembangkang, peranan dan fungsi mereka adalah sebagai penggubal dasar.

"Apa-apa yang nak dilaksanakan oleh kerajaan sama ada kecil atau besar, ia akhirnya dipandu arah oleh keputusan yang dibuat dalam Parlimen

Iklan

"Sebab itu bagi saya ia bukan soal saiz kabinet itu, tetapi kabinet perlu arah tuju yang jelas lebih-lebih lagi dalam konteks cabaran paling besar bagi Anwar dan kabinet yang hendak dibentuk ini ialah untuk menyelesaikan soal kemelut ekonomi, kestabilan politik dan membawa kembali negara di atas landasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Program Sinar Live bertajuk 'Cabaran Kabinet Kecil Anwar’ yang disiarkan di platform digital Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Program yang dikendalikan oleh Fahiz Ariff itu turut menampilkan Ahli Parlimen Sekijang, Dr Zaliha Mustafa dan Exco Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughini sebagai panelis.

Dalam pada itu, Ismail berkata, Anwar dilihat sebagai satu karakter pemimpin yang mempunyai visi tersendiri.

Beliau percaya bahawa pendekatan yang digunakan oleh Anwar dalam menyelesaikan sesuatu masalah adalah dengan memanfaatkan seluruh sumber yang ada.

"Saya yakin Anwar akan memberi peranan setiap ahli Parlimen sebab seperti yang kita sedia maklum kerajaan yang dibentuk ini adalah Kerajaan Perpaduan yang menggabungkan seluruh kekuatan parti-parti politik yang ada di negara ini.

"Sudah tentu mereka mahu menterjemahkan peranan itu dalam konteks urus tadbir tatakelola negara kita.

"Jadi saya melihat bahawa akan ada nanti jawatankuasa pilihan yang lebih banyak di Parlimen, iaitu mereka ini akan melakukan proses semak imbang dan terlibat secara langsung urus tadbir setiap kementerian yang ada,” ujarnya.