Dana Tabung Khas Wanita dinaikkan kepada RM1 juta

Iklan
Halimaton Shaadiah (empat dari kanan) bergambar bersama sebahagian penerima Tabung Khas Wanita dari DUN Bukit Lada.

POKOK SENA - Tabung Khas Wanita yang merupakan sebahagian daripada 10 janji manifesto PH Kedah menerima 31,668 permohonan daripada 26 DUN merangkumi pelbagai kategori pemohon.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan, Halimaton Shaadiah Saad berkata, manakala 10 lagi DUN belum menghantar borang permohonan kepada Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN).

Iklan
Iklan

Menurutnya, memandangkan sambutan luar biasa diterima daripada kesemua 36 DUN, kerajaan negeri telah menambah peruntukan dana Tabung Khas Wanita kepada RM1 juta, berbanding peruntukan awal yang disediakan sebanyak RM500,000.

"Jumlah pemohon melebihi 31,000, bagi saya ini jumlah yang besar. Kita akan kaji kes pemohon satu persatu agar mereka yang benar-benar layak dapat menerima imbuhan ini,” katanya, pada sidang media, selepas majlis penyerahan sumbangan Tabung Khas Wanita DUN Bukit Lada, di Pejabat Daerah dan Tanah Pokok Sena, di sini, hari ini.

Iklan

Halimaton Shaadiah berkata, untuk permulaan, pihaknya memberi keutamaan kepada pemohon dalam dua kategori, iaitu wanita yang menjaga suami, ibu atau bapa yang terlantar sakit serta wanita yang menjadi ketua isi rumah.

"Pemilihan dibahagikan kepada beberapa kategori, antaranya, wanita kurang berkemampuan atau dilanda musibah, bencana atau kesempitan hidup sebagai ketua keluarga, wanita yang mahu memajukan perniagaan kecil atau perusahaan di rumah secara kecil-kecilan bagi meningkatkan taraf ekonomi,” katanya.

Iklan

Menurutnya, pemilihan akan dilakukan secara berterusan bagi meneliti permohonan kategori lain.

"Seramai 42 penerima dari DUN Guar Chempedak dan 33 penerima dari DUN Bukit Lada diberikan sumbangan ini, selepas tapisan dibuat untuk dua kategori. Kategori lain akan menerima insentif ini dari semasa ke semasa,” katanya.

Halimaton Shaadiah berkata, pihaknya akan turun padang ke 36 DUN untuk mengenal pasti golongan sasar dan diharap tabung ini dapat meringankan beban golongan wanita yang kurang berkemampuan.

"Saya bersyukur kerana dana untuk tabung ini berjaya diagihkan sekali gus berjaya tunaikan janji manifesto PH Kedah,” katanya.

Menurutnya, sumbangan daripada tabung ini diberikan secara ‘one off’ dengan jumlah maksimum RM1,000.