MEXICO CITY - MEXICO. Seramai 350 imigran dari Amerika Tengah dilaporkan merempuh sempadan Mexico kelmarin dalam usaha meneruskan perjalanan ke Amerika Syarikat (AS).
Jumlah tersebut hanya sebahagian dari 2,500 imigran yang menyertai karavan terbaharu demi mencari kehidupan lebih baik di bumi AS, satu berita yang pastinya tidak disenangi Presiden Donald Trump.
Iklan
Iklan
Institut Migrasi Kebangsaan Mexico berkata, sebahagian imigran yang menyeberangi sempadan dari Guatemala bersikap ganas dan menyerang polis tempatan di bandar Metapa de Dominguez.
"Sekumpulan 350 imigran merempuh sempadan Mexico dari Guatemala dengan memecah kunci pagar sempadan bagi memasuki negara ini," kata institut terbabit.
Kumpulan besar imigran terbabit memulakan perjalanan dari bandar San Pedro Sula, Honduras Rabu lalu dan disertai kumpulan dari Guatemala dan Nicaragua.
Kebanyakan imigran yang menyertai karavan berhasrat untuk meninggalkan belenggu kemiskinan dan menyelamatkan diri daripada keganasan di negara masing-masing.
"Kami tidak mampu lagi untuk hidup di Honduras, kami mahu pergi ke Amerika Syarikat," kata Jorge, seorang imigran muda dari Honduras yang menyertai karavan bersama keluarganya. - AFP