BEIJING - Kanak-kanak dengan rasa ingin tahu yang tinggi adakala membuatkan orang dewasa serba salah, tersipu malu dan macam-macam lagi, membongkar 'misteri' rutin kehidupan angkasawan di stesen angkasa lepas.
Pertanyaan seperti"macam mana anda tidur","macam mana gunakan bilik air" dan"kalau sakit, macam mana," menghujani empat angkasawan China - tiga di Stesen Angkasa Lepas Tiangong dan seorang di Beijing Royal School - dalam telesidang di sini, membabitkan kira-kira 1,000 pelajar sekolah dari negara-negara ASEAN.
"Jangan risau, jika kami jatuh sakit kami ada ubat-ubatan (yang dibawa dari bumi) selain boleh berkomunikasi dengan doktor melalui panggilan video," kata Cai Xuzhe, antara tiga kru Shenzhou-14 yang sedang bertugas di stesen angkasa lepas itu sejak lima bulan lepas.
Dua lagi taikonaut (istilah khusus angkasawan China berdasarkan perkataan taikong, bermaksud angkasa lepas) bersama beliau ialah Chen Dong dan Liu Yang yang menjadi wanita pertama dari China 'menjejakkan kaki' di angkasa.
"Kami juga sentiasa memantau mikroorganisma dan memastikan kebersihan dalam Tiangong supaya tiada jangkitan kuman," tambah Cai yang menjawab pertanyaan Huang Jun Kai mewakili murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Kwok, Kuala Lumpur, iaitu wakil Malaysia pada program Dialog Tiangong: Bicara Pelajar ASEAN dengan Taikonaut di Beijing Royal School itu.
Para angkasawan terbabit termasuk Liu Boming yang mengikuti misi Shenzhou-7 pada 2008 dan Shenzou-12 pada 2021, berkongsi kisah kehidupan mereka di angkasa selain memberi inspirasi kepada pelajar yang mempunyai impian bergelar angkasawan.
Ketuhar gelombang mikro di angkasa
Turut mencuri perhatian hadirin ialah pertanyaan tentang makanan dan bagaimana angkasawan terbabit makan.
Tidak seperti yang digambarkan oleh kebanyakan filem Hollywood yang mana makanan dibuat dalam bentuk cecair atau kapsul, menurut angkasawan China terbabit mereka makan makanan seimbang termasuk pelbagai sayur dan buah-buahan segar.
"Kami gunakan ketuhar gelombang mikro untuk panaskan makanan," jelas Chai yang juga angkasawan ke-14 China dalam misi angkasa lepas.
Jika rindu pada ahli keluarga, mereka boleh menggunakan telefon untuk membuat panggilan.
"Kami boleh guna telefon selular di angkasa, menggunakan wi-fi untuk berkomunikasi dengan mereka yang berada di bumi termasuk bertelesidang dengan keluarga kami," kata Chen pula.
Sementara itu, Liu menjelaskan tentang rutin harian mereka termasuk bekerja selama tujuh ke lapan jam sehari, tidur selama tujuh jam pada waktu malam dan satu jam tidur sebentar pada waktu petang.
Bezanya kata beliau, mereka dapat melihat matahari terbit dan terbenam setiap 90 minit.
"Setiap kegiatan di luar stesen atau extravehicular activity (EVA), dari persiapan awal sehinggalah pemasangan selalunya mengambil masa beberapa hari, dan kami perlu bekerja tanpa henti selama enam hingga tujuh jam di luar. Keadaan ini memang mencabar fizikal dan mental kami.
"Latihan semasa di bumi menyediakan kami untuk menghadapi keadaan ini, dan kami, iaitu kru semasa, berjaya melengkapkan dua EVA, sekali gus memberikan kami keyakinan untuk menyiapkan EVA seterusnya," kata Liu.
"Kami doakan impian kalian untuk menjadi angkasawan akan jadi kenyataan, selain berharap kerjasama di antara China dan ASEAN akan membuahkan lebih banyak hasil," kata Chen mengakhiri sesi telesidang.
Kongsi kepakaran dengan ASEAN
Dalam pada itu, semasa berucap merasmikan telesidang berkenaan, Penolong Menteri Luar China Wu Jianghao berkata, negaranya akan terus berkongsi kepakaran dalam bidang angkasa dan teknologi dengan negara anggota ASEAN menerusi kerjasama yang lebih erat.
Menurutnya, sambil mengukuhkan inovasinya dalam sektor itu, China juga akan membantu pembangunan industri angkasa ASEAN untuk manfaat dan sumbangan yang lebih besar kepada 'penggunaan ruang angkasa secara aman'.
Tidak ketinggalan, Pusat ASEAN-China (ACC) juga berikrar untuk terus memainkan peranannya sebagai jambatan dalam menggalakkan kerjasama lebih erat di antara kedua-dua pihak.
"ASEAN dan China berkongsi impian yang sama dalam penerokaan angkasa lepas, dan kami yakin bahawa manusia akan terus mendapat manfaat daripada usaha penerokaan dan penggunaan ruang angkasa secara aman," kata Setiausaha ACC Shi Zhongjun.
China, negara berpopulasi 1.4 bilion, menyasarkan untuk menjadi kuasa angkasa terkemuka di dunia menjelang 2045, dan negara itu melancarkan dasar penerokaan angkasa lepas menerusi Program Agensi Angkasa Bermanusia China kira-kira tiga dekad lalu.
Stesen Angkasa Lepas Tiangong terletak di orbit rendah bumi, berjarak antara 340 dan 450 kilometer dari permukaan bumi. Ia yang merupakan sebahagian daripada Program Agensi Angkasa Bermanusia China adalah projek pembinaan makmal dengan modul teras Tianhe dilancarkan pada April 2021.
Sehari sebelum program dialog Tiangong ini berlangsung iaitu pada 2 Nov lepas, China melancarkan modul makmal angkasa Mengtian, membawa pembinaan stesen angkasa Tiangong itu ke peringkat akhir.
Kru Shenzhou-14 bertanggungjawab menguruskan pemasangan modul makmal Wentian dan Mengtian. Menurut laporan South China Morning Post, stesen itu akan beroperasi sepenuhnya tidak lama lagi selepas modul ketiga dan terakhir Mengtian"berlabuh" di modul teras pada awal bulan ini.
Fenomena angkawasan pertama Malaysia
Peluang menghadiri telesidang itu membawa ingatan penulis kepada angkasawan pertama negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha yang mungkin ramai sudah lupa.
Beliau mencipta sejarah apabila menjadi rakyat Malaysia pertama tiba di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) menaiki kapal angkasa Soyuz bersama Komander Peggy Whitson dari Amerika Syarikat dan jurutera penerbangan Yuri Malenchenko pada 10 Okt 2007.
Dr Sheikh Muszaphar yang juga doktor perubatan, meluangkan masa selama 10 hari di ISS, dan apabila kembali ke tanah air, jadualnya padat dengan siri jelajah ke sekolah di seluruh negara bagi berkongsi pengalaman beliau di angkasa.
Pada 2018, beliau dilaporkan berharap kerajaan dapat menghantar angkasawan seterusnya ke sempadan terakhir menjelang 2030 dengan bantuan atau bersama-sama China yang kini semakin menghampiri matlamat menjadi kuasa utama dalam penerokaaan angkasa lepas.
Ini juga seiring dengan Dasar Angkasa Negara 2030 yang mana menurut dokumennya tidak mengikat Malaysia dengan program angkasa berisiko tinggi, mahal dan penerokaan tidak munasabah. - Bernama