PRU15 Padang Serai: Beri kebenaran pekerja keluar mengundi

Iklan
Majikan terutama dalam sektor swasta dirayu memberi kebenaran kepada pekerja untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Parlimen Padang Serai, 7 Disember ini. (Gambar hiasan) - Foto Bernama

KULIM - Calon Pakatan Harapan (PH) Dr Mohamad Sofee Razak merayu agar semua majikan, terutama dalam sektor swasta memberi kebenaran kepada pekerja untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Parlimen Padang Serai, 7 Disember ini.

Beliau berkata, perkara itu wajar dilakukan berikutan keputusan kerajaan Kedah tidak dapat mempertimbangkan pemberian cuti khas pada hari pengundian yang diadakan pada hari bekerja.

Iklan
Iklan

"Kadang-kadang kalau pekerja hendak keluar ada masalah sikit, hendak keluar masa sejam amat singkat dan mengundi ambil masa. Jadi saya memohon kepada majikan untuk benarkan pekerja-pekerja untuk mengundi dan jangan potong gaji mereka.

Pada Ahad, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan Kedah tidak dapat mempertimbangkan pemberian cuti khas pada hari pengundian PRU15 Padang Serai kerana ia hanya melibatkan satu kawasan Parlimen di negeri itu.

Iklan

Kenyataan itu dibuat susulan cadangan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan supaya kerajaan negeri mengumumkan cuti khas pada 7 Disember ini bagi memudahkan pengundi keluar melaksanakan tanggungjawab mereka memandangkan pengundian diadakan pada hari Rabu.

Dalam pada itu, Mohamad Sofee turut merayu agar semua pengundi Parlimen Padang Serai dapat hadir awal ke pusat mengundi yang dibuka sehingga 6 petang dan tempoh itu katanya mencukupi untuk mereka menjalankan tanggungjawab.

Iklan

"Kebanyakan pengundi yang saya berjumpa ini, mereka bekerja dalam kawasan Padang Serai atau paling kurang di Pulau Pinang. Jadi, mereka ada masa yang cukup untuk datang dan saya harap mereka dapat datang awal,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian PRU15 bagi Parlimen Padang Serai ditangguhkan kepada 7 Disember dan pengundian awal pada 3 Disember, berikutan kematian calon Pakatan Harapan (PH) yang disahkan bertanding M. Karupaiya, pada 16 November lepas.