SKUAD Amerika Syarikat (AS) mempunyai tugas berat, menang atau balik awal menjelang aksi terakhir berdepan Iran dalam saingan Kumpulan B Piala Dunia Qatar 2022 pada Rabu.
Berbanding Iran yang hanya memerlukan keputusan seri untuk mara ke pusingan kalah mati dalam aksi terakhir di Stadium Al Thumama dengan sepak mula pada jam 3 pagi waktu Malaysia.
"Ini adalah perlawanan kalah mati kami yang pertama di Piala Dunia.
"Kami perlu menang atau tersingkir di Piala Dunia,” kata jurulatih AS, Gregg Berhalter.
Dalam satu lagi aksi, England akan membuat perhitungan dengan Wales di Stadium Ahmad Ali juga pada tarikh dan masa sama.
England yang dibimbing Gareth Southgate memimpin carta kumpulan dengan empat mata setelah menang besar 6-2 ke atas Iran dan seri tanpa jaringan dengan AS.
Iran pula di tangga kedua dengan tiga mata setelah menang ke atas Wales 2-0 Jumaat lalu.
Hanya dua pasukan teratas akan mara dengan AS mengumpul dua mata di kedudukan ketiga, manakala Wales di tempat tercorot dengan satu mata.
AS dijangka berdepan tugas sukar untuk mendapatkan gol, apa lagi kemenangan kerana Iran mempunyai pilihan taktikal sama ada mempraktiskan corak bertahan atau agresif untuk memburu kemenangan.