KOTA BHARU - Perikatan Nasional (PN) memberi jaminan akan menjadi pembangkang yang konstruktif di negeri Pahang.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penetapan tersebut dibuat selepas Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan di negeri itu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah sudah maklum berkait pendirian ini dan menerima BN bersama PH di Pahang.
"Maka, PN akan jadi pembangkang yang konstruktif di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang,” katanya ketika ditemui di Jamuan Kesyukuran anjuran Pas Kubang Kerian di pekarangan Masjid Bandar Satelit Pasir Tumboh di sini, pada Isnin.
Pada PRU15, BN memperoleh 16 kerusi daripada 41 kerusi DUN Pahang dan PH memperoleh lapan kerusi manakala PN pula memperoleh 17 kerusi.
Menurut Tuan Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, ada beberapa perkara akan dirunding antara pembangkang dan kerajaan negeri itu dalam membentuk persefahaman politik.
"Kita akan teruskan perbincangan di peringkat kerajaan negeri, memberi idea baik untuk pembangunan, teguran-teguran membina dalam DUN Pahang manakala hubungan dengan BN tidak ada masalah dan sentiasa hormat pendirian semasa parti,” katanya.
Sebelum itu, ADUN Jelai yang juga Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Pahang pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Pahang di Istana Abu Bakar pada Isnin.
Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim berkata, tumpuan diteruskan kepada gerak kerja untuk PRU15 DUN Tioman pada 7 Disember ini.
"Kita mengharapkan momentum yang baik untuk berjaya di DUN Tioman.
"Kami mengetahui sentimen masyarakat Melayu luar bandar di Tioman dan memahami ada kekuatan UMNO di sana,” katanya.
PRU15 DUN Tioman ditangguhkan kerana kematian calon PN, Md Yunus Ramli, 61, pada hari pengundian 19 November lalu, dipercayai akibat serangan jantung.