IPOH - Perikatan Nasional (PN) Perak menafikan dakwaan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bahawa terdapat cubaan mendapatkan sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN bagi membentuk kerajaan negeri.
Setiausahanya, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, cubaan 'mencuri' empat wakil rakyat parti itu minggu lalu adalah tidak benar serta tidak berasaskan fakta.
"Ia tuduhan yang tidak berasas. Saya tidak pernah memberi atau menawarkan mahupun nak beli ADUN BN, janganlah membuat tuduhan begitu.
"Saya sendiri tidak pernah hubungi mana-mana ADUN BN sehinggalah beliau (Saarani) mengangkat sumpah pada Isnin dan saya sendiri jumpa beliau pada jam 3 pagi pada Ahad minggu lalu untuk bertanyakan kerjasama itu sahaja," katanya di sini pada Isnin.
Menurut Zainol Fadzi, beliau ada menghubungi dua ADUN BN untuk bertanyakan mengenai pelantikan Exco.
"Tiada pula arah atau menghantar ejen seperti yang didakwa apatah lagi meminta mereka keluar parti kerana semuanya saya kenal dan bersahabat baik.
"Saya faham tekanan yang beliau hadapi disebabkan keputusan yang telah diambil cuma dalam kes ini tidak timbul isu cubaan membeli ADUN BN.
"Waktu pertemuan Saraani bersama Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu adalah untuk melihat gabungan PN dan BN menubuhkan kerajaan Perak itu sahaja," katanya.
Pada Ahad, Saarani mendedahkan terdapat cubaan pihak tertentu mendapatkan sokongan ADUN BN sebelum pembentukan kerajaan negeri.
Menurutnya, cubaan itu dimaklumkan sendiri oleh wakil rakyat BN dan individu yang menjadi 'ejen' untuk menarik sekurang-kurangnya empat ADUN itu.