KELAB terkemuka Jerman, Borussia Dortmund membenam Johor Darul Ta'zim (JDT) 4-1 dalam perlawanan persahabatan kelab antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim di sini, malam Isnin.
Menguasai padang sejak detik awal, Dortmund tidak berdepan masalah untuk membuka tirai gol pada minit ke-11 apabila rembatan Donyell Malen sempat di tampan penjaga gol, Farizal Marlias, sebelum Goktan Gurpuz menyambar bola muntah dan menyudahkan jaringan.
Pasukan pelawat bimbingan Edin Terzik tidak melengahkan waktu untuk menambah jaringan melalui Marlen dengan meledak gol kedua pada minit ke-31 susulan keadaan kelam-kabut di depan pintu gol JDT sekali gus meletakkan kedudukan 2-0.
Selang 10 minit, pasukan tuan rumah yang tidak berputus asa dengan asakkan pasukan pelawat berhasil mencipta gol tunggal menerusi rembatan bola ke penjuru kanan gol oleh pemain muda terbaik JDT, Arif Aiman Hanapi pada minit ke-41.
Memasuki babak kedua menyaksikan Dortmund dan JDT masing-masing memasukkan beberapa pemain gantian namun ia tidak banyak membantu JDT mengubah kedudukan jaringan.
Sebaliknya, Dortmund sekali lagi menambah derita pasukan tuan rumah apabila berjaya menghasilkan gol ketiga pada minit ke-60 melalui Ole Pohlmann yang membuat rembatan ke gawang JDT hasil hantaran Can Ozkan.
Selang sembilan minit, Dortmund sekali lagi berjaya menjarakkan jurang jaringan apabila rembatan Samuel Samba berjaya membolosi pintu gol JDT pada minit ke-69.
JDT yang dilihat berusaha untuk mengasak menerusi beberapa hantaran pendek namun cubaan cantik daripada anak didik Hector Bidoglio gagal di sempurnakan dan keputusan kekal 4-1 hingga tamat perlawanan. - Bernama