PADANG SERAI - Kira-kira 8,000 penduduk di Kampung Padang dan beberapa buah perumahan sekitar berdepan gangguan telefon dan capaian internet sehingga menyukarkan komunikasi terutama ketika berdepan kecemasan.
Tan Tian Weng, 58, berkata, penduduk terpaksa keluar sehingga ke jalan utama bagi membuat panggilan telefon termasuk ketika mahu menghubungi pasukan keselamatan mahupun ambulans.
Dia yang menetap di Kampung Padang sejak 30 tahun lalu berkata, kawasan itu juga kerap menjadi sasaran penjenayah berikutan kegagalan menghubungi pasukan polis dengan cepat bagi mendapatkan bantuan.
"Baru tiga bulan lepas saya disamun menggunakan parang, dah kerap kali kejadian pencuri masuk rumah, kami nak minta tolong susah sebab kawasan ini sukar nak buat panggilan telefon sehingga menyebabkan kerugian berpuluh ribu ringgit," katanya.
Antara kawasan perumahan berdekatan lain yang sering menjadi sasaran penjenayah termasuk Taman Bunga Raya, Taman Raya Indah dan Taman Raya Murni.
Penduduk Taman Bunga Raya, N Harikrishnan, 68, berkata, dalam keadaan kecanggihan teknologi yang semakin pesat membangun, masih terdapat perumahan penduduk yang berdepan gangguan telekomunikasi seperti mereka hadapi.
"Bayangkan jika berlaku kecemasan seperti ahli keluarga sakit, saya terpaksa keluar dari kawasan perumahan ini untuk menghubungi ahli keluarga yang lain.
"Begitu juga dengan anak-anak yang mahu belajar atau mengulangkaji pelajaran, mereka perlu keluar ke pekan Padang Serai yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumah," katanya.
Masalah itu diluahkan kepada calon BN Parlimen Padang Serai, Datuk C Sivaraj yang melakukan kunjungan melalui kempen dari rumah ke rumah yang dijalankan.
Sivaraj berharap kerajaan dapat memasang menara telekomunikasi di kawasan itu dengan segera bagi memudahkan penduduk berhubung dengan masyarakat luar terutama ketika kecemasan.
"Saya pernah berusaha berjumpa dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia,Tan Sri Annuar Musa sebelum ini utarakan masalah penduduk di sini, jadi selepas ini kita harap kerajaan yang ada dapat membantu penduduk di sini, tak kira dari parti mana.
"Saya juga masukkan perkara ini antara manifesto utama saya untuk penduduk di Padang Serai, saya yakin akan dapat bantu selesaikan masalah mereka sekiranya mendapat kepercayaan penduduk menjadi ahli parlimen.
"Dalam masa sama, saya lihat jalan serta longkang di kawasan perumahan ini juga perlu dinaik taraf bagi mengelak berlakunya limpahan air ke kawasan rumah penduduk, perkara ini pun saya akan tolong selesaikan menerusi agensi berkaitan,"katanya.
Sivaraj antara salah seorang calon yang bertanding di Parlimen Padang Serai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bersama lima calon lain antaranya, Dr Mohamad Sofee Razak (PH), Datuk Azman Nasrudin (PN), Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Mohd Bakri Hashim (Warisan) dan Sreanandha Rao (Bebas).
Warisan bagaimanapun mengumumkan tidak mengambil bahagian tetapi logo parti itu masih tersenarai dalam kertas undi kerana sudah didaftarkan sebagai sebuah parti yang akan bertanding.
PRU15 Parlimen Padang Serai ditunda kerana calon PH, M Karupaiya yang telah disahkan bertanding, meninggal dunia pada 16 November iaitu tiga hari sebelum hari mengundi 19 November lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagaimanapun mengumumkan 7 Disember depan sebagai hari pengundian, 24 November sebagai hari penamaan calon dan 3 Disember sebagai hari undian awal bagi Parlimen Padang Serai.