Warga emas ternak rusa hilangkan tekanan

Iklan
Mat Roni memberi rusanya makan di dalam kandang yang dibina di belakang rumah.

KUALA KRAI - Seorang warga emas di Kampung Chatel, Lata Rek di sini tidak menyangka usahanya menternak rusa mampu menghilangkan tekanan selepas menghidap kencing manis.

Mat Roni Senek, 68, mula menternak haiwan itu selepas tidak mampu melakukan kerja-kerja berat lebih 13 tahun lalu termasuk menoreh getah.

Iklan
Iklan

Menurut Mat Roni, minatnya memelihara rusa sudah lama dan keputusan diambil selepas dia mula bosan kerana tidak melakukan sebarang kerja.

Menurutnya, keserasian memelihara rusa menggalakkan kesihatannya semakin baik manakala rusa yang diternak mula membiak dan ditambah pembelian baharu sehingga mencecah 17 ekor.

Iklan

Warga emas itu bagaimanapun memberitahu tidak menjual daging haiwan berkenaan walaupun mendapat permintaan yang tinggi daripada penggemar makanan eksotik.

Sebahagian daripada haiwan ternakan milik Mat Roni.

Tambahnya, daging rusa tidak seperti lembu yang boleh dijual terus kerana tidak ramai membelinya secara harian menyebabkan daging tidak segar.

Iklan

"Saya menjual rusa pada harga RM2,800 hingga RM3,800 seekor bergantung kepada fizikal dan keadaan haiwan itu.

"Setakat ini memang mendapat sambutan daripada peminat rusa di sekitar Kelantan," katanya.

Bapa kepada tujuh anak berusia antara 25 hingga 46 tahun itu juga bersyukur kerana minatnya mendapat sokongan Jabatan Veterinar negeri yang sentiasa memantau keadaan haiwan itu.

Berkongsi mengenai pemakanan haiwan ternakannya itu, Mat Roni mengakui dia tidak mengalami masalah untuk memberi makanan kepada rusa peliharaannya yang hanya memakan rumput dan dedak.

Jelasnya, setiap bulan sebanyak RM400 diperuntukkan bagi membeli dedak rusa.

"Rusa tidak cerewet dan saya memberi makan haiwan ini tiga kali sehari selain tidak pernah hilang walaupun terlepas daripada kandang.

"Alhamdulillah, setakat ini semua dalam keadaan sihat dan membesar dengan baik," ujarnya.