Tebing runtuh, Pohon Celagi dijangka pulih pada Disember

Iklan
Azami ketika menjawab soalan di Persidangan DUN (Belanjawan) ke-3 Penggal Kelima pada Selasa.

KOTA BHARU - [KEMAS KINI] Status kemajuan semasa projek membaik pulih tebing sungai di Pohon Celagi Pasir Mas mencapai 96.57 peratus (%).

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan, Datuk Azami Mohd Nor berkata, projek tersebut dijangka siap sepenuhnya pada Disember nanti.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, selepas kejadian runtuhan tebing di Pohon Celagi, terdapat beberapa runtuhan susulan yang dikenal pasti berlaku.

"Kedua, runtuh di tebing di Kampung Jias, Pasir Mas di stor Majlis Daerah Pasir Mas sepanjang 1.7 kilometer jarak daripada projek Pohon Celagi berlaku pada Ogos 2022 dan dalam semakan JPS Malaysia,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) (Belanjawan) ke-3 Penggal Kelima di Kota Darul Naim di sini pada Selasa.

Iklan

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadok (Pas) itu berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada ADUN Chetok, Zuraidin Abdullah (Pas).

Dalam pada itu, Azami ketika menjawab soalan tambahan daripada ADUN Jelawat, Abdul Azziz Kadir (Pas) berkata, runtuhan tebing di kawasan Jelawat dalam proses mendapatkan peruntukan untuk dibaik pulih.

Iklan

"Satu ketika dulu, ada satu runtuhan tebing di Jelawat sudah siap dibina dan yang kedua ini sekiranya peruntukan diluluskan, kerja baik pulih akan segerakan.

"Runtuhan tebing dan jalan di Kampung Kampung Tok Chong di Jelawat, Bachok itu berlaku pada 22 Oktober lalu akan dibaik pulih segera dengan anggaran kos RM200,000 malah di Kadok, Kota Bharu pun ada dua jalan dalam proses untuk baiki segera,” katanya.

Dalam pada itu, soalan tambahan daripada Zuraidin berkait runtuhan tebing sungai di Kampung Lemal, Pasir Mas yang melibatkan 10 buah rumah sebelum ini, Azami berkata kos baik pulih dianggarkan bernilai RM2.7 juta.

"Kawasan runtuhan tebing di Lemal ini bermula 2020 akibat banjir sepanjang 50 meter.

"Runtuhan baharu pada tahun 2021 sepanjang 60 meter dengan anggaran keluasan runtuhan 1,500 meter persegi dan berjarak 650 meter dari Pohon Celagi. Kos diperlukan RM2.7 juta dimohon daripada JPS untuk selesaikannya,” katanya.

Akhbar tahun lalu melaporkan, seramai 100 penduduk di Kampung Pohon Celagi, dipindahkan selepas berlaku tebing runtuh sepanjang 500 meter pada 17 Februari 2021.

Runtuhan bermula jam 2.30 sehingga 6.30 pagi itu turut mengakibatkan beberapa rumah ranap dipercayai disebabkan terjahan air Sungai Kelantan ke benteng berkenaan.