TUMPAT - Penduduk Kampung Kulim, Wakaf Bharu meluahkan rasa kecewa dengan sikap tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang masih membuang sampah berhampiran kawasan rumah ibadat masyarakat Buddha di Wat Machimmaram walaupun tong sampah sudah tidak disediakan.
Wakil penduduk, Wee Sock Yam, 57, berkata, sebelum ini kawasan tersebut merupakan tempat tong sampah namun terpaksa dialihkan selepas tiga tahun digunakan ekoran sikap tidak bertanggungjawab segelintir pihak.
"Lebih menjijikkan lagi apabila ada segelintir daripada penduduk membuang sampah di luar tong yang disediakan sehingga mengundang kehadiran anjing-anjing liar.
"Sudahlah begitu (buang sampah di luar tong) malah ada yang bertindak luar kawalan dengan membakar kemudahan tersebut," katanya menceritakan kembali perihal tong sampah dialihkan kepada Sinar Harian pada Selasa.
Tambah dia, sejak kawasan tersebut ditutup untuk aktiviti itu masih ada pihak yang melakukannya dan perkara tersebut menyebabkan sampah semakin berselerak dan menimbulkan bau busuk.
Ujarnya, kedudukan kawasan itu yang terletak berhampiran tempat ibadat serta kediaman penduduk menyebabkan suasana menjadi tidak selesa.
Bagi Chan Ah Men, 41, kehidupan penduduk sering terganggu apabila anjing liar membawa sampah dan meletakkan ia di kawasan kediaman mereka.
"Penduduk sepakat meletakkan lima papan tanda di sekitar kawasan bekas tong sampah namun tidak dihiraukan oleh orang ramai," katanya.
Warga emas, Soh Joo Liang, 72, berharap isu ini diambil tindakan segera terutama terhadap segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab dan masih membuang sampah di kawasan tersebut.
Katanya, mungkin pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh menaikkan papan tanda amaran atau sebaliknya.
Sementara itu Setiausaha Majlis Daerah Tumpat, Mohd Khairil Hazmie Yusof berkata, pihaknya mengambil maklum perkara tersebut.
Menurut beliau, MDT berharap penduduk setempat lebih bersikap cakna dan tidak membuang sampah di kawasan berkenaan sebagaimana yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.