KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri digesa meningkatkan rantaian sumber bekalan makanan bagi menangani kemelut makanan yang dimonopoli golongan kapitalis dan korporat ketika ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata, peranan agensi kerajaan dan anak syarikat kerajaan negeri penting bagi memastikan isu berkenaan dapat ditangani secara berkesan.
"Kemelut yang ditimbulkan oleh kapitalis dan korporat besar sehingga menimbulkan krisis makanan seperti minyak, telur dan seumpamanya perlu ditangani secara bijaksana oleh kerajaan.
"Perancangan ekonomi yang berkesan juga perlu digerakkan bagi mengurangkan jurang kemiskinan sekali gus mencapai guna tenaga penuh dan pertumbuhan ekonomi yang optimum," katanya ketika membahaskan Enakmen Perbekalan 2023 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, pada Selasa.
Jelas beliau, rancangan kerajaan untuk melaksanakan program Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) bagi golongan belia dilihat antara usaha yang perlu segera dilaksana bagi memberi impak tinggi.
"Belia-belia yang berminat untuk terlibat dalam industri ini perlu dilatih dengan pemudah cara oleh kerajaan dan agensi-agensi berkaitan.
"Penyediaan tapak pertanian baharu yang lebih sofistikated (canggih) sesuai dengan perkembangan teknologi semasa memandangkan kebanyakan rakyat Terengganu menjadikan pertanian sebagai sumber kehidupan," kata beliau.
Dalam pada itu, Sulaiman berkata, keperluan membangunkan sektor pertanian bukan sekadar memenuhi keperluan sara diri, ia penting untuk menjadikannya sebagai hab pengeluaran bekalan dalam negeri serta eksport ke luar negara.
Katanya, ia bertepatan dengan peruntukan sebanyak RM29.18 juta yang diberikan kepada sektor pertanian dalam Belanjawan Terengganu 2023.
"Kerajaan perlu mengurus dan memandu agar rakyat memanfaatkannya secara cekap dan optimum. Kesannya, kadar kemiskinan boleh di atasi dan ekonomi akan sentiasa berada dalam guna tenaga penuh," ujarnya.