KUALA TERENGGANU – Sebanyak 56 ekor penyu dilaporkan mati di seluruh Terengganu sejak Januari hingga Oktober tahun ini.
Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, jumlah itu meningkat sedikit berbanding 51 kematian penyu pada tahun lepas.
Menurutnya, bangkai penyu tersebut ditemui dalam beberapa keadaan seperti hanyut terperangkap dalam pukat nelayan, terdapat tali yang membelit di sekeliling bangkai dan mati terdampar di pantai.
Bagaimanapun kata beliau, tiada bukti khusus untuk disimpulkan bahawa kematian penyu itu disebabkan pukat pari atau pukat palas sebaliknya bolehlah disimpulkan ia angkara perbuatan tangan-tangan manusia.
Jelas Dr Azman, bagi menangani masalah itu, kerajaan negeri melalui Jabatan Perikanan mengadakan operasi penguatkuasaan pukat pari dengan 37 pukat pari berjaya dirampas di pengkalan nelayan daerah Kemaman dan Dungun pada tahun ini.
Beliau berkata, operasi penguatkuasaan terhadap nelayan yang menceroboh kawasan santuari penyu dari Kuala Merchang, Marang sehingga Tanjung Jara, Dungun turut dilakukan.
"Hasilnya, seramai 18 nelayan terdiri daripada 2 tempatan dan 16 nelayan asing yang berpengkalan di Pahang telah ditangkap bawah Akta Perikanan 1985,” katanya.
Menurut beliau, usaha lain dilakukan adalah menyelamat penyu yang terdampar di pantai dan tidak mampu berenang kembali ke laut.
"Pada tahun ini, sebanyak enam ekor penyu terdampar berjaya diselamatkan.
"Langkah lain diambil kerajaan adalah melaksanakan penguatkuasaan undang-undang di bawah Enakmen Pemuliharaan Penyu Terengganu 1951 pindaan 2021 dengan hukuman yang lebih berat terhadap kesalahan yang melibatkan kematian penyu,” katanya.