HONOLULU - Gunung berapi aktif yang terbesar di dunia, Mauna Loa di Hawaii meletus pada Isnin dan turut memuntahkan lava serta debu panas buat pertama kali dalam tempoh hampir empat dekad.
Susulan letusan itu, penduduk sekitar kini berada dalam keadaan berjaga-jaga setelah Perkhidmatan Geologi Amerika Syarikat (USGS) memberi amaran keadaan berpotensi untuk berubah secara tiba-tiba.
Iklan
Iklan
Gunung berapi aktif, Mauna Loa berketinggian 4,169 meter dari paras laut yang terletak di Taman Gunung Berapi Negara Hawaii meliputi separuh daripada Big Island di kawasan seluas lebih 5,179 kilometer persegi.
Menurut USGS, Mauna Loa telah meletus sebanyak 33 kali sejak 1843 dan kali terakhir adalah pada 1984 serta turut memuntahkan lava dalam lingkungan jarak lapan kilometer di Hilo iaitu bandar berpopulasi paling padat di negeri pulau AS tersebut.
Populasi Big Island dilaporkan meningkat dua kali ganda sejak 1980 kepada kira-kira 200,000 penduduk, sekali gus mencetuskan kebimbangan komuniti tersebut berisiko berdepan 'bencana lava' jika aktiviti vulkanik Mauna Loa meningkat. - AFP