EKSPO Taiwan yang diadakan secara tahunan di Malaysia adalah platform terbaik untuk mempamerkan industri pintar bertaraf dunia, pelancongan budaya dan bakat teknikal Taiwan, kata Ketua Pengarah Biro Perdagangan Luar Negeri Taiwan, Cynthia Kiang.
Beliau berkata, biro itu akan terus mewujudkan pelbagai galeri imej industri dan bidang-bidang khas Taiwan berdasarkan kepada polisi kerajaan Malaysia dan keperluan pembangunan industri.
Misi Perdagangan Taiwan 2022 diadakan bertujuan untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam pelbagai industri seperti maklumat dan komunikasi, 5G, Kecerdasan Buatan Pelbagai Benda (AIoT), penjagaan perubatan dan teknologi hijau.
Biro Perdagangan Luar Negeri Taiwan akan menggalakkan peningkatan aplikasi bandar pintar, pembuatan pintar, ekonomi rendah karbon dan penjagaan perubatan pintar.
Ia juga selaras dengan trend-trend ekonomi global utama yang baharu muncul seperti penstrukturan semula rantaian bekalan, penjimatan tenaga dan pengurangan karbon.
"Kami juga akan mengadakan pertukaran dua hala dengan Malaysia dalam bidang pelancongan dan pendidikan bakat untuk lebih memahami antara satu sama lain. Ini akan memupuk kerjasama dan saling menguntungkan untuk mencipta nilai baharu,” katanya.
Walaupun pandemik yang melanda sejak dua tahun lalu, perdagangan dua hala antara Taiwan dan Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan pada 2021.
Taiwan merupakan rakan dagangan kelima terbesar Malaysia manakala Malaysia pula yang ketujuh terbesar bagi Taiwan.
Berkenaan dengan pelaburan, Taiwan juga merupakan sumber pelaburan langsung asing kelapan terbesar Malaysia.
Kerjasama perniagaan antara Malaysia dan Taiwan
Misi Perdagangan Taiwan ke Malaysia telah memuktamadkan satu pertemuan perniagaan secara bersemuka (one-on-one) di Kuala Lumpur hari ini. Kuala Lumpur adalah persinggahan pertama untuk misi perdagangan itu.
Kiang berkata, untuk membantu perusahaan Taiwan mengembangkan perniagaan dan mendapatkan tempahan/pesanan baharu, ia merancang untuk mengatur lawatan ke persatuan-persatuan dan syarikat terkenal tempatan berdasarkan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh perusahaannya.
"Lawatan seumpama ini juga akan membolehkan kami mendapat pandangan tentang pembangunan perindustrian Malaysia, trend semasa dan gambaran keseluruhan perdagangan ekonomi. Ini akan membantu kami bersedia untuk reka letak masa hadapan dalam pasaran yang merupakan sebahagian daripada Dasar Baharu Pandang ke Selatan (New Southbound Policy) kami," katanya.
Beliau menegaskan, kepakaran syarikat Taiwan yang dibawa bertepatan dengan hala tuju pembangunan perindustrian yang digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-12.
Sebagai contoh, kini terdapat 22 taman perindustrian halal di Malaysia, dan negara ini merupakan hab industri halal terbesar di dunia.
Memandangkan kebanyakan produk makanan halal perlu disimpan dalam gudang rantaian suhu sejuk beku yang diperakui halal sepanjang proses logistik, kepakaran Taiwan dalam penyelesaian rantaian suhu sejuk beku serta teknologi inovatif yang menggabungkan sistem perisian dan perkakasan menjadikan Taiwan rakan kongsi yang sempurna untuk melengkapkan keperluan Malaysia.
Kerjasama untuk beri manfaat rakyat kedua-dua pihak
Litar bersepadu adalah produk import dan eksport utama untuk kedua-dua Taiwan dan Malaysia.
Justeru, industri elektronik dan jentera elektrik ialah bidang pembangunan utama dengan pelbagai peluang untuk kerjasama industri, kata Kiang.
Memandangkan Malaysia kaya dengan sumber asli, Taiwan juga mengimport sejumlah besar bahan mentah berkaitan minyak dan gas asli dari Malaysia dan kemudian mengeksport produk siap yang diproses.
Beliau berkata kedua-dua negara saling melengkapi dalam perdagangan dan industri dan mempunyai hubungan kerjasama yang erat.
Walaupun dilanda pandemik, gangguan dalam rantaian bekalan serta inflasi yang tinggi, pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal melebihi lima peratus, jauh lebih tinggi daripada kadar pertumbuhan purata global sebanyak 2.9 peratus.
Sementara itu, daya saing teknologi digital Malaysia menduduki tempat kedua dalam kalangan negara ASEAN, menjadikan Malaysia rakan kongsi pilihan syarikat-syarikat Taiwan untuk pelaburan strategik.
Selain itu, beliau berkata dari sudut perspektif bakat, perkadaran bagi mereka yang boleh bertutur dalam bahasa Mandarin di Malaysia adalah agak tinggi.
"Ini mengurangkan halangan bahasa sama ada anda mahu memberi tumpuan kepada pasaran Malaysia, menggunakan Malaysia sebagai pangkalan atau menyasarkan pasaran ASEAN,” katanya.
Di samping itu, terdapat sejumlah besar pelajar Taiwan yang belajar di Malaysia, dan terdapat lebih daripada 30,000 graduan Malaysia yang telah tinggal di Taiwan untuk mendapatkan pekerjaan.
Memandangkan Malaysia mempunyai antara sumber perubatan terbaik di ASEAN, adalah lebih baik untuk bekerjasama dalam bentuk"pakatan kuat” dalam kerjasama antarabangsa, katanya.
Prospek untuk Taiwan-Malaysia
Melangkah ke tahun 2023, Kiang menyorot bagaimana Ekspo Taiwan tahunan di Malaysia terus membantu industri Taiwan memasuki Malaysia selaras dengan dasar dan keperluan pembangunan industri Malaysia.
Beliau turut yakin tentang prospek bekerjasama dengan Malaysia dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi, 5G, AIoT, teknologi perubatan, teknologi hijau dan bidang-bidang lain dalam usaha untuk mendorong sempadan bandar pintar, pembuatan pintar, ekonomi rendah karbon, penjagaan perubatan pintar dan teknologi canggih lain.
Menyedari bahawa trend ekonomi utama dunia seperti penstrukturan semula rantaian bekalan, pemuliharaan tenaga dan pengurangan karbon adalah kunci untuk mengekalkan kelebihan negara, maka Malaysia dan Taiwan harus bersinergi dalam kelebihan masing-masing, tambahnya.
Di samping itu, pertukaran dua hala antara Malaysia dan Taiwan dalam pelancongan, kebudayaan dan pendidikan akan memperdalam persefahaman, meningkatkan kerjasama dan mewujudkan nilai baharu, katanya.
Misi perdagangan ini terdiri daripada 21 syarikat Taiwan yang terbabit dalam industri pintar, logistik rantaian sejuk beku dan teknologi pengangkutan pintar.
Industri pintar merangkumi pembuatan pintar, jentera pintar, Industri 4.0, pertanian pintar, rumah pintar, perubatan pintar, bandar pintar dan aplikasi industri pintar yang lain.
Beliau berkata selain Malaysia, delegasi itu juga akan ke Thailand dan Vietnam antara 27 Nov dan 7 Dis.
"Kami menjangkakan 21 syarikat Taiwan itu akan menarik lebih 250 pembeli tempatan dan mengadakan lebih daripada 500 mesyuarat perniagaan ke perniagaan. Kami menganggarkan nilai perniagaan yang dijana boleh mencecah US$10 juta,” tambahnya. - Bernama