PHNOM PENH - KEMBOJA. Dua warga Britain ditahan polis Kemboja dan dipaksa menulis surat permohonan maaf gara-gara mabuk dan mengganggu ketenteraman.
James Donaghue dan Josh Little masing-masing berusia 40 dan 27 tahun didapati mabuk pada awal pagi Rabu lepas dan telah menceroboh masuk kawasan kedutaan Turki di bandar Phnom Penh.
Donaghue dan Little ditahan pengawal kedutaan lalu dibawa ke balai polis berhampiran, namun kedua-dua lelaki itu kemudian 'pengsan' di sebuah bilik siasatan.
Keesokan harinya, pihak polis memaksa kedua-duanya menulis perjanjian menyatakan bahawa mereka akan berkelakuan baik dan mematuhi undang-undang Kemboja.
Dalam satu surat berbeza yang ditulis bersama oleh Donaghue dan Little, mereka berdua memohon maaf kerana kesilapan yang dilakukan dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
Kedua-dua surat tersebut ditandatangani menggunakan cap jari.
Ekoran menandatangani surat terbabit dan pengakuan yang menyatakan mereka akan ditahan sekiranya mungkir janji, kedua-duanya dilepaskan tanpa dakwaan. - Dailymail