PEMAIN muda, Rodrygo Goes 'mencuri' aura kaki legenda Brazil, Ronaldo dalam usahanya untuk membantu skuad Samba memburu kejuaraan keenam Piala Dunia selepas kali terakhir memenanginya 20 tahun lalu.
Cuba mengambil tuah daripada aura legenda yang menjulang Piala Dunia 2002, pemain berusia 21 tahun itu berharap dapat meneruskan momentum kemenangan biarpun perlu bermula dari bangku simpanan.
Brazil yang dibimbing di laluan terbaik untuk dilabelkan sebagai calon juara walaupun bergelut tanpa kelibat Neymar yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan buku lali.
Skuad Samba dipaksa bergelut sehingga minit ke-83 untuk meraih jaringan tunggal menerusi Casemiro bagi melakar kemenangan kedua mengatasi Switzerland 1-0 dalam aksi Kumpulan G di Stadium 974 Piala Dunia Qatar 2022 pada Selasa.
Kemenangan itu menjamin tiket untuk Brazil mara ke pusingan kalah mati selepas melakar kemenangan pertama ke atas Serbia 2-0 pada 25 November lalu.
Di sebalik kemenangan, Rodrygo yang juga merupakan tonggak Real Madrid dijemput untuk menjadi tetamu dalam satu temubual eksklusif Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang dihoskan oleh Ronaldo.
Semasa mengakhiri wawancara singkat di stadium, gelagat Rodrygo mengundang tawa penonton kerana selepas bersalaman dan sambil bangun dari kerusi dia mengusap kedua belah kaki Ronaldo.
Rodrygo kemudian menggosok kakinya seolah-olah 'memindahkan' aura dan tuah kaki Ronaldo ke kakinya untuk lebih berbisa di depan gawang.
Ronaldo hanya ketawa dengan gelagat pemain yang memakai jersi nombor 21 itu dan skuad Brazil sememangnya tidak asing dengan gaya santai mereka setiap kali menyertai kejohanan berprestij itu.
Legenda berusia 46 tahun itu merupakan antara pemain yang membantu Brazil merangkul Piala Dunia 2002 selepas menewaskan Jerman 2-0 ketika Jepun dan Korea Selatan menjadi tuan rumah bersama.