JOHOR BAHRU - Peletakan jawatan Menteri Besar Johor oleh Datuk Osman Sapian yang diperkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semalam akhirnya menamatkan teka-teki kedudukan beliau dalam kerajaan negeri.
Osman yang juga ADUN Kempas dilantik sebagai Menteri Besar ke-16 selepas PH menguasai majoriti kerusi dalam DUN Johor pada 9 Mei tahun lalu.
Pemilihan Osman yang juga berdasarkan latar partinya itu dilakukan apabila sebelum PRU14 semua parti komponen dalam PH bersetuju secara konsensus Johor sebagai negeri Bersatu (Menteri Besar dari Parti Bersatu).
Persetujuan yang dilihat tidak boleh ditarik semula itu sekali gus mengetepikan beberapa pemimpin dari parti komponen lain seperti Amanah, DAP dan PKR yang mempunyai kredibiliti menggantikan Osman untuk memimpin Johor.
Calon pemimpin PH yang disebutkan bakal menerajui negeri ini ialah ADUN Parit Yani, Aminolhuda Hassan dan ADUN Semerah, Mohd Khuzzan Abu Bakar dan mereka juga Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri masing-masingnya dari Amanah dan PKR.
Selain kedua-duanya, nama Dr Sharuddin Jamal iaitu ADUN Bukit Kepong yang juga Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor sejak kebelakangan ini sentiasa meniti di bibir penganalisis politik.
Khabar angin itu semakin bertiup kencang selepas Dr Sahruddin dari parti Bersatu hadir mewakili Osman dalam pertemuan antara pegawai kanan Malaysia dan Singapura di Putrajaya, Selasa lalu.
Walaupun ini adalah penggal pertamanya sebagai ADUN, pemimpin berusia 44 tahun itu dilihat antara calon tepat menggalas tanggungjawab Menteri Besar Johor apatah lagi kerjaya profesionalnya sebelum bergelar wakil rakyat ialah doktor perubatan.
Sahruddin turut menonjolkan kebolehannya apabila berjaya mengawal dan memainkan peranan penting ketika insiden pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Mac lalu.
Graduan perubatan di Universiti Hasanuddin, Indonesia itu juga dikenali sebagai seorang yang ramah selain berasal daripada keluarga petani di Muar dan mempunyai latar belakang kehidupan sederhana.
Kelebihan itu sekali gus menjadi beliau seorang calon yang sesuai serta boleh memahami keperitan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah bagi Johor yang sedang membangun.
Bagaimanapun, siapapun pemimpin diusulkan pucuk pimpinan parti, ia masih tertakluk dengan keputusan Tuanku Sultan Johor dan teka-teki siapa Menteri Besar Johor ke-17 itu hanya akan terjawab pada istiadat pelantikan yang dijangka diadakan di Istana Balai Mengadap Istana Bukit Serene di sini, jam 9.30 pagi hari ini.