TERKEJUT Merak Jalanan apabila tak sampai beberapa hari Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri, dah keluar pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat.
Antara poster yang bertebaran dan tular di media sosial ialah Pengeluaran Khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Secara Bersasar, Bantuan Sara Hidup (BSH), Bantuan Satu Keluarga RM900 dan Program Bantuan Makanan MyKasih.
Rupa-rupanya semua poster tersebut palsu belaka dan telah dinafikan kesahihannya oleh Kementerian Kewangan.
Merak Jalanan memang hairan sangat, siapalah berselindung di sebalik perbuatan tersebut. Banyak pula masa mereka buat kerja-kerja tak berfaedah!
Bukan apa, Merak Jalanan kasihan sangat dengan kawan-kawan, malah jiran-jiran yang percaya bulat-bulat poster bantuan tersebut.
Kebanyakan mereka memang betul-betul dalam keadaan susah dan sangat mengharapkan pertolongan kerajaan dari segi kewangan ketika ini.
Tapi alangkah hancur rasa hati bila dapat tahu semuanya palsu dan hanya ‘gurauan kasar’ mereka yang tidak bertanggungjawab.
Ahad lalu, Perdana Menteri baru sahaja berikan tempoh selama dua minggu kepada jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi mengkaji implikasi jika subsidi bersasar dilaksanakan.
Bagaimanapun, belum ada laporan dan keputusan lanjut lagi tentang hal itu buat masa ini.
Ingat, jangan mudah terpedaya dengan kenyataan atau berita tular yang tidak diketahui kesahihannya. Rajin-rajinlah rujuk laman sesawang atau media sosial rasmi kementerian/jabatan/agensi untuk dapatkan maklumat betul.
Kepada yang dah terkena ‘prank’ manusia yang tiada adab itu, harap selepas ini lebih berhati-hati.
Kepada si pelaku, tunggulah nanti karma menanti kerana membuatkan hati-hati yang berharap terluka!