IPOH - Pemborong dan peniaga kedai runcit sekitar bandar raya Ipoh mengakui sudah tidak tahan berdepan dengan masalah kekurangan bekalan telur ayam yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu.
Tinjauan di beberapa kedai runcit mendapati kebanyakannya masih berdepan kekurangan stok telur ayam segar menyebabkan pelanggan merungut untuk mendapatkannya.
Harga bagi sepapan telur omega dijual pada harga RM18, gred AA (RM16.80), gred A (RM16.30), gred B (RM15.70) dan gred C pula RM15.40.
Pekerja swasta, Fadzua Zainal, 50, mengakui dia sukar mendapatkan telur ayam di sekitar Ipoh sejak dua hari lalu.
"Setiap bulan saya akan mencari sepapan telur ayam untuk kegunaan sendiri. Memang susah juga hendak dapat dan pagi ini (Selasa) saya cuba lagi tetap tidak ada.
"Yang tinggal hanya telur omega tetapi harganya sedikit mahal. Saya cuba cari lagi di beberapa kawasan lain kalau jumpa. Beberapa bulan ini agak sukar juga dapatkan telur ayam,” katanya ketika ditemui di Pasar Besar Ipoh di sini pada Selasa.
Peniaga kedai runcit yang mahu dikenali sebagai Kim berkata, permintaan tinggi dan melakukan pembelian panik menjadi faktor bekalan telur berkurangan.
Wanita berusia 40 tahun itu berkata, keadaan itu menyebabkan jualan 100 papan telur ayam yang biasa habis dalam tempoh seminggu kini terjual dalam tempoh beberapa hari.
"Bekalan itu ada cuma ia dihantar setiap minggu mengikut tempahan. Kami berniaga kecil-kecilan jadi tempahan telur daripada pembekal tidak banyak.
"Sejak tiga minggu lalu, corak pembelian pelanggan pun berubah. Biasa mereka beli 10 biji sahaja tetapi disebabkan isu bekalan ini, ada yang membeli sehingga dua papan,” katanya.
Penjual telur yang mahu dikenali sebagai Angie berkata, isu kekurangan bekalan telur ayam disifatkan paling teruk kerana ia berlarutan tanpa ada jalan penyelesaian oleh mana-mana pihak.
Menurutnya, setiap hari dia berdepan dengan kemarahan pelanggan yang mahu membeli telur ayam segar.
"Kita menerima bekalan 100 papan telur ayam setiap hari dan dalam tempoh beberapa jam ia sudah habis kerana ada yang ditempah awal oleh pelanggan.
"Tetapi ada sebilangan pelanggan bertindak memarahi serta mendakwa kami simpan stok telur untuk dijual pada harga tinggi. Logiknya, telur tidak boleh disimpan lama dan sudah tidak segar lagi,” ujarnya.
Angie bagaimanapun menasihatkan pelanggan untuk tidak mempercayai gambar tular kononnya bekalan telur ayam sudah pulih.
"Semua penjual berhadapan isu yang sama sehinggakan berasa letih untuk terangkan kepada pelanggan dengan keadaan kami dihadapi ini termasuk kenaikan harga,” katanya.
Pemborong, Noorsyamimi Suhaimi pula berharap kerajaan baharu ini dapat menyelesaikan terlebih dahulu masalah bekalan dan harga telur ayam di peringkat ladang.
"Penyelesaian komprehensif perlu disediakan melibatkan semua yang terlibat dalam rantaian perniagaan ini.
"Pemberian subsidi kepada pengeluar telur ayam yang dilanjutkan sehingga bulan depan juga dilihat tidak efisien kerana sehingga kini isu ini tidak dapat diselesaikan.
"Kami pun terima tidak sampai 50 papan telur ayam setiap hari berbanding 300 papan pada Mei lalu,” jelasnya.
Tambah Noorsyamimi, pemborong turut berhadapan kekurangan bekalan gula sebulan lalu.
"Sebelum ini kita terima dua tan gula dengan penghantaran tiga kali seminggu dan kali ini menurun kepada 240 kilogram sahaja.
"Kami terpaksa menempah stok gula daripada beberapa pembekal lain,” ujarnya.