Jangan hanya lapor di media sosial

Iklan
Gambar hiasan. - Foto Bernama

TINDAKAN tegas perlu diambil oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ke atas peniaga atau pembekal yang didapati menaikkan harga telur ayam walaupun bekalan tersebut kembali pulih.

Gesaan itu disuarakan ramai pengguna di media sosial selepas harga telur ayam didakwa terus meningkat secara mendadak kebelakangan ini walaupun negara tidak mengalami kekurangan bekalan makanan tersebut.

Mereka juga mahu melihat peranan KPDNHEP dalam membuat siasatan bagi mengetahui punca sebenar harga telur ayam naik sehingga ada yang mencecah RM15 atau lebih bagi sepapan telur gred A.

Iklan
Iklan

Kenaikan harga itu juga didakwa berpunca daripada pembekal makanan yang mengenakan caj tambahan bagi setiap biji telur sehingga memaksa harga jualan runcit dinaikkan untuk semua jenis gred.

Malah, pengguna di media sosial juga mendakwa isu kenaikan harga telur ayam bukanlah perkara baharu dan KPDNHEP perlu lebih serius melihat isu berkenaan termasuk bekalan makanan utama lain di dalam negara.

Iklan

Mereka mahu kementerian berkenaan memberi penjelasan, adakah kekurangan bekalan dan kenaikan harga telur ayam disebabkan permintaan berlebihan atau sebaliknya termasuk menggesa pengguna memboikot peniaga.

Bagaimanapun, mengulas isu yang sama, Timbalan Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Lee Yoon Yeau pula memaklumkan isu kekurangan bekalan telur ayam di pasaran sejak Oktober lalu masih berlanjutan sehingga kini.

Iklan

Menurut Yoon Yeau, isu telur ayam kembali pulih seperti yang dipaparkan di media sosial adalah tidak benar kerana beberapa kawasan masih lagi mengalami masalah sama.

"Itu bukan satu liputan yang betul. Media sosial yang mainkan isu ini, jadi kita tidak boleh komen,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian pada Selasa.

Tidak dinafikan media sosial menjadi platform utama untuk membincangkan isu-isu nasional. Malah, dengan populasi seramai 31.83 juta orang, sebanyak 74 peratus atau 24 juta penduduk negara ini mempunyai akaun media sosial.

Ia adalah jumlah yang besar dan angka-angka tersebut menunjukkan media sosial muncul sebagai kuasa baharu yang membentuk persepsi khalayak terhadap banyak perkara dalam kehidupan.

Walaupun ternyata bukan sumber maklumat utama tetapi sebahagian besar tetap merujuk media sosial untuk dijadikan sebagai tempat perbincangan dan penyelesaian pelbagai isu utama negara.

Organisasi media turut berdepan dengan cabaran baharu kerana sebahagian besar dalam kalangan pemilik akaun media sosial memilih sesuatu yang disukai dan bukan yang benar.

Bayangkan, untuk menilai individu atau sesebuah institusi termasuk kementerian seperti KPDNHEP pun menggunakan neraca media sosial sebagai tanda arasnya.

Disebabkan kehidupan sebahagian besar daripada kita ditentukan oleh media sosial, banyak yang mengecam pihak berkuasa berkaitan, malah institusi agama juga tidak terlepas daripada menerima tempias.

Justifikasi ‘tidak buat kerja’ bersandarkan apa? Bagi segelintir mereka adalah media sosial. Jika dikatakan tidak semua perkara adalah benar, mereka mudah naik darah.

Faktanya, sudah berpuluh tahun pelbagai agensi kerajaan ditubuhkan bertindak sebagai penguat kuasa undang-undang dan telah melakukan tanggungjawab di kawasan masing-masing di seluruh negara.

Mereka mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang boleh dicapai.

Dengan aduan itu, penguat kuasa boleh buat tinjauan dan sekiranya betul ada yang mencatut dan menaikkan harga, tindakan dapat diambil.

Namun, aduan perlu disalurkan kepada pihak yang sepatutnya dan bukan hanya sekadar catatan melalui media sosial. Jika hanya mengadu di platform media sosial, kementerian berkenaan tidak akan tahu atau mungkin juga hanya buat tidak tahu.

*Mohd Azlim Zainury ialah wartawan Sinar Harian Selangor