SHAH ALAM - Seiring perkembangan dunia pendigitalan yang semakin maju, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) mengambil langkah lebih proaktif untuk menyemarakkan lagi usaha memartabatkan seni dan budaya Malaysia.
Ketua Pengarah JKKN, Mesran Mohd Yusop berkata, pihaknya mengambil inisiatif untuk menerbitkan bahan bacaan ilmiah atau umum dalam versi digital yang berperanan sebagai wadah sokongan penyampaian maklumat.
"Pendekatan tersebut wajar dilaksanakan demi kepentingan kelestarian bahan-bahan penerbitan seni dan budaya supaya boleh terus diakses oleh generasi muda dan pencinta seni.
"Usaha ini juga penting bagi memastikan bahan penerbitan JKKN menjadi sebagai salah satu cabang utama dalam mempromosikan seni dan budaya yang kini mempunyai nilai tambah tersendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Jabatan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya itu memperkenalkan tiga pilihan platform berbentuk e-book sebagai arkib digital rasmi yang boleh diakses orang ramai secara percuma. Platform tersebut adalah laman web www.jkkn.gov.my, https://issuu.com/ jkkngov dan http://neuarkib.jkkn.gov. my/.
Pengenalan tiga arkib digital rasmi itu memberi pilihan mudah untuk carian bahan seni dan budaya kepada masyarakat umum khususnya warga penuntut institusi pengajian tinggi, sekolah, pengkaji, penyelidik dan penggiat seni.
Mengulas lanjut mengenai arkib digital khususnya issuu.com, Mesran berkata, bahan penerbitan yang dimuat naik majoritinya adalah bahan penerbitan percuma.
"Bagi bahan penerbitan yang berbayar, hanya beberapa helaian sebagai review dipaparkan untuk pembaca. Selebihnya, bahan jualan tersebut boleh dibeli di ibu pejabat JKKN atau di semua JKKN negeri seluruh negara,” katanya.
Lebih sistematik
Menarik mengenai neuarkib.jkkn.gov.my, sistem arkib digital ini adalah sistem baharu yang dibangunkan sejak tahun 2020 bagi menggantikan sistem dokumentasi manual yang dilaksanakan JKKN sebelum ini.
Ujar Mesran, sehingga kini sebanyak 39,059 bahan telah selesai di migrasi dan proses muat naik bahan arkib digital itu merupakan proses berterusan bagi memastikan sistem penyimpanan yang lebih sistematik dan mudah diakses oleh masyarakat umum.
"Sehingga kini, capaian arkib digital rasmi JKKN sudah mencecah 10,454 orang untuk dalam tempoh Mac hingga bulan ini dan turut menyasarkan seramai 15,000 pelayar dalam tempoh setahun.
"Tidak mahu ketinggalan dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi yang semakin pantas, JKKN terus memperkasakan bahan dokumentasi melalui transformasi digital seperti Sistem Neucanvas,” katanya.
Tambah Mesran, JKKN akan terus memperbanyakkan terbitan bahan berkaitan seni dan budaya untuk memenuhi keperluan masyarakat khususnya kepada pencinta seni budaya.
"JKKN juga berharap agar sistem mengarkibkan bahan secara digital ini berupaya menjadi platform yang mudah dicapai sejajar usaha JKKN menyebarluaskan maklumat atau bahan seni budaya tanpa mengira sempadan,” katanya.
Berdasarkan rekod, sebanyak 344 bahan terbitan JKKN yang merangkumi 255 bahan bacaan berbentuk buku, majalah dan laporan manakala 89 bahan lagi adalah berbentuk cakera padat video (VCD) dan cakera padat (CD).
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web JKKN iaitu www.jkkn.gov.my atau Facebook JKKN melalui www.facebook.com/mysenibudaya.