Wanita perlu tahu hak jika jadi mangsa keganasan

Iklan
Chin Li (duduk, tengah) bersama peserta yang hadir pada Program Stop It, Survive (SIS) -Hentikan Keganasan Terhadap Wanita anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) di Pusat Kegiatan Masyarakat Kemas Tangkak.

TANGKAK - Semua pemimpin di peringkat akar umbi perlu mengambil perhatian terhadap masalah kekeluargaan dan keganasan terhadap wanita.

ADUN Tangkak, Ee Chin Li, berkata walaupun kebanyakan masyarakat merasakan ia hanya masalah kekeluargaan, namun apabila berlaku keganasan, ia sudah menjadi jenayah yang perlu diambil berat.

Iklan
Iklan

"Statistik daripada PDRM pada Januari hingga November tahun lalu menunjukkan terdapat 4,963 kes membabitkan penderaan seksual terhadap wanita. Itu tidak termasuk penderaan dari segi mental dan fizikal dan isu ini sangat membimbangkan.

"Justeru, pemimpin masyarakat di akar umbi perlu memandang serius perkara ini walaupun kebanyakan orang ramai merasakan ia hanya masalah membabitkan suami, isteri atau anak sahaja.

Iklan

"Bagaimanapun, apabila berlaku keganasan, ia adalah satu jenayah yang semua pihak harus mengambil berat dan pada masa sama perlu memberi bantuan terhadap mangsa terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Stop It, Survive (SIS) - Hentikan Keganasan Terhadap Wanita anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) di Pusat Kegiatan Masyarakat Kemas di sini, baru-baru ini.

Iklan

Hadir sama, Pegawai Daerah Tangkak, Mahadon Marnin; Ketua Pegawai Eksekutif YPKDT, Helmi Sha'ri dan Pegawai Tadbir YPKDT Daerah Tangkak, Noraisyah Maulan.

Hampir 1,000 peserta menghadiri program itu bertujuan memberi pendedahan kepada golongan wanita mengenai hak mereka sekiranya berdepan dengan isu keganasan.

Chin Li berkata, pihaknya menyokong inisiatif dilaksanakan YPKDT dan pihaknya sedia bekerjasama bagi program seterusnya pada masa akan datang.

Sementara itu, Helmi berkata, program ini dilaksanakan bagi memberi pendedahan dan kesedaran kepada golongan wanita untuk berdepan dengan pelbagai bentuk keganasan yang boleh berlaku terhadap mereka.

"Menerusi program ini, kita hendak memberitahu kepada golongan wanita di luar yang mereka mempunyai beberapa medium yang sesuai sekiranya berhadapan masalah ini. YPKDT juga menyediakan bantuan khidmat kaunseling dan juga bantuan guaman.

"Selain itu, di peringkat kerajaan pusat, kita mempunyai talian kasih 15999 yang disediakan bukan sahaja membabitkan soal keganasan, tetapi juga berkaitan masalah rumah tangga, anak atau isu kekeluargaan yang lain. Jangan sesekali takut untuk membuat aduan kerana setiap individu mempunyai hak masing-masing,” katanya.