Lima rakyat Palestin maut ditembak tentera Israel

Iklan
Penduduk Palestin menguruskan mayat warganya yang maut ditembak tentera Israel di Tebing Barat pada Selasa. - Foto AFP
RAMALLAH - Lima rakyat Palestin terbunuh dalam serangan tentera Israel di Tebing Barat pada Selasa, lapor Agensi Anadolu memetik Kementerian Kesihatan dan media Israel.

Kementerian itu memaklumkan bahawa satu kematian dilaporkan berlaku di bandar Beit Ummar berhampiran bandar Hebron dan dua lagi di kampung Kafr Ein, di barat laut Ramallah.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin memaklumkam pegawai perubatannya merawat 22 rakyat Palestin yang cedera akibat ditembak di Beit Ummar.

Menurut penduduk tempatan, pertempuran ganas meletus antara tentera Israel dan rakyat Palestin ketika tentera Israel melakukan serbuan.

Sementara itu, seorang lagi warga Palestin ditembak mati tentera Israel selepas dia didakwa memukul seorang warga Israel di Tebing Barat yang diduduki, menurut penyiar awam KAN.

KAN juga melaporkan seorang pemandu warga Palestin bertindak melanggar seorang wanita Israel berhampiran penempatan Kochav Yaakov di tengah Tebing Barat.

Tentera Israel bertindak mengejar dan menembak mati pemandu terbabit, manakala wanita itu dilaporkan mengalami kecederaan.

Seorang lagi remaja Palestin maut selepas ditembak di dada oleh tentera Israel di kampung al-Mugir, timur laut Ramallah, menurut Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan berasingan.

Remaja berkenaan dikenali Raid al-Nasan berusia dua puluhan, lapor agensi berita Wafa.

Saksi mendakwa, tentera Israel menyerbu al-Mugir dengan menggunakan peluru hidup dan melepaskan gas pemedih mata terhadap berpuluh-puluh rakyat Palestin.

Ketegangan memuncak di Tebing Barat dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini susulan serbuan berterusan Israel bagi menahan"rakyat Palestin yang dikehendaki" atau bertujuan untuk merobohkan kediaman mereka. - Bernama