KOTA BHARU - Legenda bola sepak Kelantan, Allahyarham Mohd Hashim Mustapa disifatkan sebagai pemain yang cukup berdisiplin semasa berada di atas padang.
Bekas rakan sepasukan, Mohamad Ausri Husin berkata, setiap kali sesi latihan, pemain yang cukup sinonim dengan jersi nombor 10 itu akan tiba lebih awal di padang.
"Kalau latihan bermula jam 5 petang, arwah akan masuk padang 15 minit lebih awal. Biasanya dia akan berlari dan memanaskan badan lebih awal sebelum mengikuti latihan sebenar," katanya kepada pemberita semasa pengebumian Mohd Hashim di Tanah Perkuburan Islam Chapi, Kampung Baung Bayam di sini pada Rabu.
Mohd Hashim meninggal dunia pada Selasa jam 10.25 malam akibat komplikasi kencing manis di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
Mohamad Ausri berkata, Allahyarham turut disifatkan sebagai seorang suka bergurau.
"Arwah tiada galang gantinya dan pemergian ini satu kehilangan besar buat arena bola sepak Kelantan dan Malaysia," katanya.
Sementara itu, Mohd Risham Mustapa, 51, mendedahkan, Allahyarham abangnya cukup cakna dan menyayangi seluruh ahli keluarga.
"Arwah merupakan tonggak yang banyak membantu keluarga dan suka menolong adik-adik lain.
"Kehidupan kami sekeluarga agak susah satu masa dahulu dan abanglah yang banyak membantu," katanya.
Bekas Pengurus Pasukan Kelantan, Azman Ibrahim pula menyifatkan pemergian Mohd Hashim sebagai satu kehilangan besar buat arena bola sepak negeri ini dan kebangsaan.
"Semasa menjadi penolong jurulatih Kelantan, arwah seorang yang komited dalam melaksanakan tugas.
"Ketika kami bertemu, arwah begitu bersemangat dan memberitahu sedia kembali ke arena bola sepak apabila sihat sepenuhnya nanti," katanya.
Sebelum itu, lebih 1,000 ahli keluarga, jiran tetangga dan sahabat handai serta bekas tonggak pasukan Kelantan hadir di Masjid Al-Husna Kampung Baung Bayam di sini untuk solat jenazah.
Jenazah Mohd Hashim selamat dikebumikan pada jam 10.35 pagi.