KUALA LUMPUR - Seramai 600 peserta My Bandar Tun Hussein Onn (BTHO) Charity Run berjaya menyempurnakan larian amal anjuran Masjid BTHO dan Pixel Pro Creative Solutions semalam.
Acara berlangsung bermula jam 7.30 pagi itu melibatkan dua kategori iaitu Fun Run 3km dan kategori terbuka 10km.
Program yang julung kali diadakan itu dengan objektif bagi mengumpulkan dana pembinaan dewan terbuka Masjid BTHO yang turut mendapat tajaan daripada Megaklinik Zahra dan UDA Holdings Berhad.
Timbalan Nazir Masjid BTHO, Mohd Fairuz Mohamad, berkata, selain sebagai inisiatif mengumpul dana pembinaan dewan, acara itu juga sebagai usaha menyatu padukan masyarakat sekitar dengan penglibatan pelbagai kaum dan kariah masjid.
"Selain bersukan, dengan acara begini ia dapat mendekatkan masyarakat dengan masjid,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Megaklinik Zahra, Mohd Nafidz Abdul Razak, menyifatkan program berkenaan sebagai satu lagi langkah menggalakkan lagi aktiviti kemasyarakatan di BHTO.
"Megaklinik Zahra sering bekerjasama dengan Masjid BTHO bagi program seumpama ini. Masyarakat di BTHO sendiri amat menyokong program seperti ini jadi potensi untuk ia terus dilaksanakan amat baik.
"Penganjur juga berjaya menguruskan program dengan baik walaupun perbincangan untuk kerjasama ini dalam masa yang agak singkat,” katanya.
Terdahulu, beliau dan Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Hartanah UDA Holdings Berhad, Noor Azmi Salleh menyampaikan hadiah kepada 20 pemenang bagi kategori lelaki dan wanita acara Larian Terbuka 10km.
Tempat pertama hingga ke 10 menerima wang tunai RM60 hingga RM500 serta medal, manakala tempat ke 11 hingga 20 menerima hamper.