ALOR SETAR - Kanak-kanak yang maut dihempap tiang elektrik di Kampung Belukar, Jalan Kampung Darat, Changlun pada petang Selasa sempat bertanyakan perihal agama termasuk syurga dan neraka kepada ibunya.
Sharifah A Rahim, 35 ibu kepada mangsa, Muhammad Aqil Wafiq Ruslizan, 10, berkata, dia tidak menyangka persoalan itu menjadi petanda bahawa anaknya akan pergi selamanya.
Sharifah berkata, mereka sekeluarga reda dengan kehilangan anak kedua dari tiga beradik itu.
Mengulas mengenai tragedi yang menimpa anaknya itu, Sharifah memberitahu, lokasi kejadian hanya kurang 100 meter dari rumah neneknya, Zaiton Abu, 64.
"Dia mungkin ikut kawan-kawan dia main dekat situ sebab sebelum ini dia tak pernah pergi ke situ pun," kata Sharifah yang merupakan suri rumah.
Jelasnya, longgokan tiang elektrik tersebut sudah ada di situ sejak sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
"Tiang elektrik itu ditahan menggunakan kayu saja dan ketika kejadian ada bunyi kuat dan memang saya dah syak ada benda buruk berlaku kerana lokasi kejadian bertentang dengan rumah neneknya dan boleh nampak dari jauh.
"Arwah memang tak pernah bermain di situ dan rupanya anak saya yang meninggal," katanya.
Sharifah berkata, suaminya, Ruslizan Ali, 42, baru sahaja terbabit kemalangan akibat diserang sawan ketika memandu teksi dua bulan lalu.
Menurutnya, Ruslizan koma hampir dua minggu dan kini dalam proses pemulihan serta kini mengharapkan bantuan ibu bapa sementara menunggu untuk kembali bekerja.
"Jenazah anak kami akan dikebumikan di Kampung Berona Kanan, Jeniang, Sik pada hari ini (Rabu)," ujarnya.
Rakan mangsa, Wan Aliff Danish Abdullah, 10, pula masih kritikal manakala seorang lagi mangsa berusia 11 tahun masih dirawat di Hospital Jitra.
Peristiwa tersebut mengejutkan warga Sekolah Kebangsaan Dato Wan Kemara, Changlun dan Guru Besarnya, Mohd Nizam Saidin menyifatkan arwah Muhammad Aqil Wafiq dan Wan Aliff Danish merupakan murid yang baik dan rajin di sekolah tersebut.