Ekonomi Malaysia berada di landasan betul: DOSM

Iklan
Mohd Uzir

SHAH ALAM - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merumuskan pertumbuhan ekonomi negara dijangka berada di landasan betul walaupun situasi ekonomi global ketika ini tidak menentu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, ekonomi negara berkembang sebanyak 14.2 peratus pada suku ketiga 2022 yang sebahagiannya didorong oleh prestasi menggalakkan dalam semua sektor ekonomi terutamanya sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Iklan
Iklan

Selain itu katanya, pertumbuhan ini disokong oleh pengembangan berterusan dalam permintaan domestik, pemulihan kukuh dalam pasaran buruh dan daya tahan dalam permintaan luaran.

"Faktor luaran kekal sebagai cabaran utama, terutamanya dalam kenaikan harga disebabkan oleh krisis Rusia-Ukraine dan kekurangan dalam pengeluaran atau rantaian bekalan yang disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Iklan

"Indeks Pelopor (IP) pada September kekal melebihi 100.0 mata, merekodkan peningkatan sebanyak 0.3 peratus atau 0.3 mata, untuk mencatatkan 109.9 mata (September 2021: 109.6 mata).

"Justeru, ekonomi Malaysia dijangka berada di landasan yang betul walaupun ekonomi global tidak menentu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Tambahnya, Statistik Kecenderungan Perniagaan turut menunjukkan perniagaan kekal optimis pada suku keempat 2022, dengan penunjuk keyakinan terus mencatatkan momentum positif.

Mengulas lanjut mengenai situasi pasaran buruh yang semakin stabil, Mohd Uzir berkata, tenaga buruh terus meningkat pada suku ketiga 2022, mencatatkan 16.44 juta orang (ST3 2021: 16.2 juta orang).

Oleh itu katanya, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) meningkat sebanyak 1.1 mata peratus kepada 69.4 peratus berbanding suku yang sama tahun 2021 (68.3 peratus).

"Pada masa yang sama, KPTB pada suku tahun ini melepasi paras prapandemik dan merupakan kadar tertinggi yang pernah direkodkan (ST4 2019: 69.1%).

"Bilangan penduduk bekerja pada suku tahun ini meningkat kepada 15.83 juta orang dengan kadar pengangguran yang lebih rendah dicatatkan iaitu 3.7 peratus berbanding suku ketiga 2021 (4.7 peratus)," katanya.