PUTRAJAYA - Seorang guru Bahasa Inggeris dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Wilayah Persekutuan Labuan atas pertuduhan menipu tiga individu berhubung pembelian sebidang tanah.
Majistret Kasyfurrahman Abang Ahmad melepas dan membebaskan Fauziah Halim, 45, pada Selasa tanpa dipanggil membela diri.
Menurut peguam Fauziah, Datuk Seri K. Rakhbir Singh, majistret memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadap anak guamnya dan membebaskannya daripada semua pertuduhan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mendorong Salmah untuk menyerahkan RM72,500 pada 7 Jun 2016 juga berkaitan pembelian tanah yang sama.
Fauziah juga didakwa menipu Nor Aslinda Yaacop untuk menyerahkan wang RM20,000 berhubung pembelian satu lagi lot tanah di lokasi sama pada 31 Januari 2018.
Bagi pertuduhan ketiga, Fauziah didakwa menipu Zainol Anuar Mohd Noor membabitkan nilai RM40,000 pada 10 Januari 2017 bagi pembelian satu lagi lot tanah di lokasi sama.
Guru itu yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Perbicaraan bermula pada 6 Ogos 2019 dan pihak pendakwaan menutup kes pada 9 Ogos lepas dan selepas itu kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan mengemukakan hujahan masing-masing.
Timbalan Pendakwa Raya Suriyati Jumain mewakili pihak pendakwaan. - Bernama