SHAH ALAM - Perikatan Gabungan NGO-NGO Islam Malaysia (ACCIN) memuji ketelusan dan ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim 'melenyapkan' kelulusan perolehan tanpa tender yang dilihat berpotensi besar penularan perbuatan rasuah dan amalan salah guna kuasa.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir Mohd Jamaludin Shamsudin berkata, keputusan tegas Perdana Menteri menghapuskan kontrak runding terus adalah satu-satunya tindakan impak tinggi yang dapat menurunkan kadar rasuah dengan berkesan.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Deklarasi Pemimpin dan NGO Pelbagai Agama Penganut Agama sempena PRU-15 berkata, pelaksanaan langkah efektif yang mahu dilaksanakan itu berupaya menyelamatkan berbilion ringgit wang rakyat daripada disakau pihak tidak bertanggungjawab.
Malah dengan ketegasan kerajaan dalam isu tersebut katanya, penjimatan daripada isu ketirisan wang negara itu dapat digunakan sepenuhnya untuk meningkatkan taraf ekonomi rakyat dan mensejahterakan perolehan negara.
"Pastinya dengan pelaksanaan tegas yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, negara akan dapat menyelamatkan berbilion ringgit, sekali gus boleh digunakan untuk membantu sosio ekonomi rakyat dan meningkatkan perkhidmatan oleh pihak kerajaan.
"Bayangkan jumlah ketirisan dan kerugian setiap tahun melibatkan kontrak kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang bernilai ratusan bilion, sepatutnya jumlah wang yang sangat besar ini boleh dimanfaatkan sebaiknya demi kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya kepada kru Rasuah Busters pada Rabu.
Mengulas lanjut, Mohd Jamaludin berkata, suatu yang mustahil perolehan runding terus boleh menghasilkan harga yang lebih murah atau kualiti yang lebih baik, berbanding hasil perolehan tender terbuka.
Ini kerana tegasnya, keputusan menerusi perolehan runding terus dibuat tanpa melibatkan jawatan kuasa tender yang telus dan berintegriti.
Malah tambahnya, harga asal yang dilaksanakan secara runding terus akan membuka kepada skandal dan kontroversi, mungkin akan menjadi terlalu mahal kerana ada pihak yang mengambil kesempatan.
Katanya lagi, situasi menjadi lebih teruk sekiranya ada campur tangan atau perbuatan salah guna kuasa untuk mengarahkan sesuatu kontrak dibuat secara runding terus oleh individu tertentu.
Menurutnya, nilai sesuatu projek juga dilihat akan menjadi lebih besar jika orang yang mengarahkannya mempunyai kuasa lebih besar.
Atas sebab itu katanya, peluang melakukan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa akan menjadi terbuka luas sekiranya kelulusan perolehan tanpa tender masih diamalkan.
"Negara tidak boleh mengamalkan budaya tidak baik ini kerana ia menjadikan harga perolehan terlalu tinggi apabila tidak ada tender terbuka.
"Selain itu, kualiti projek juga menjadi kurang baik kerana ingin memperolehi keuntungan lebih. Semua ini boleh berlaku disebabkan proses semak imbang yang telah dikompromi," katanya.