KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada yang dijangka berlaku di lapan negeri antara Khamis dan Ahad ini.
MetMalaysia dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan hujan berterusan dijangka berlaku di empat negeri mulai Khamis hingga Sabtu iaitu Perak (Hulu Perak), Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai), Pahang (Jerantut, Kuantan dan Pekan) serta seluruh Terengganu.
Cuaca sama turut diramalkan berlaku pada Khamis di Sabah melibatkan kawasan Sandakan (Telupid, Kinabatangan dan Beluran) dan Kudat manakala di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang pula hujan berterusan diramal berlaku bermula Sabtu hingga Ahad ini.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan MetMalaysia menjangkakan hujan lebat berterusan bermula di timur Sabah, pantai timur dan utara Semenanjung mulai esok hingga Isnin depan itu disebabkan oleh angin timuran yang kencang dari barat Lautan Pasifik.
MetMalaysia memaklumkan pada masa sama, satu sistem cuaca bertekanan rendah dijangka terbentuk di Laut China Selatan pada Jumaat ini yang diramal bergerak ke arah barat merentasi sempadan Malaysia- Thailand menuju ke Laut Andaman pada Sabtu dan Ahad, serta boleh meningkatkan intensiti hujan.
"Ombak besar dan angin kencang turut dijangka melanda pesisir pantai serta perairan Kelantan dan Terengganu. Keadaan ini adalah berbahaya kepada sebarang aktiviti pantai dan laut," menurut kenyataan itu.
MetMalaysia menasihatkan orang awam di kawasan terlibat agar lebih peka dan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.
"MetMalaysia sentiasa memantau dan memaklumkan perkembangan sistem cuaca ini menerusi laman web, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi. Bagi pertanyaan lanjut, orang ramai juga boleh menghubungi hotline MetMalaysia di talian 1-300-22-1638," menurut kenyataan itu. - Bernama