SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan mengumumkan barisan kabinet Kerajaan Perpaduan awal Disember.
Sinar Harian difahamkan, satu pengumuman khas akan diadakan oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu sendiri dalam masa terdekat.
Desas-desus mengenai pembentukan kabinet baharu mula kedengaran susulan hantaran di laman Facebook Istana Negara pada Selasa yang disertakan dengan empat keping foto memaparkan yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerima menghadap Ahli Parlimen Tambun itu.
Hantaran tersebut disertakan dengan keterangan ringkas yang menyatakan Seri Paduka Baginda menerima menghadap Anwar pada pukul 5 petang menguatkan spekulasi bahawa senarai lengkap kabinet Kerajaan Perpaduan sudah dipersembahkan.
Sementara itu menurut sumber, Perdana Menteri akan mengadakan sidang media dalam tempoh terdekat bagi mengumumkan perkara berkenaan.
"Kalau ikutkan kenyataan Perdana Menteri sebelum ini, memang beliau akan umumkan sendiri. Jadi kita masih menantikan masa dan hari (pengumuman) itu.
"Most likely (esok), tetapi kita nantikan pengumuman beliau (Anwar)," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sebelum ini Anwar memaklumkan bahawa Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya akan memiliki saiz kabinet yang lebih kecil selain turut mengusulkan gaji menteri dikurangkan susulan perkembangan situasi ekonomi masa kini.