Harapan rakyat terhadap kabinet baharu

Iklan

SELEPAS Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mulakan tugas rasminya di Putrajaya, siapa bakal mengisi barisan kabinet Ahli Parlimen Tambun itu kini menjadi teka-teki dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sama ada akan diumumkan hari ini atau selewat-lewatnya dalam minggu ini, ada dalam kalangan rakyat Malaysia sudah membuat ramalan sendiri nama-nama yang mungkin membarisi senarai kabinet.

Iklan
Iklan

Walau siapa pun yang dipilih nanti, barisan kabinet untuk tempoh lima tahun ini penting buat negara kerana ia menjadi harapan rakyat untuk meningkatkan semula ekonomi negara terutama ketika dunia dijangka berdepan situasi mencabar pada tahun hadapan.

Sudah tentulah Perdana Menteri memerlukan barisan kabinet yang mantap, dibarisi mereka yang boleh bekerja, terutama individu yang terbukti berintegriti serta berpengalaman supaya manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dapat dilaksanakan dengan baik.

Iklan

Perdana Menteri sebelum ini berkata, pengumuman senarai kabinet akan mengambil masa beberapa hari lagi kerana beliau tidak mahu melantik para menteri dengan tujuan untuk memberi ‘ganjaran’ secara berlebihan.

Malah, beliau akan memastikan kabinetnya lebih kecil berbanding sebelum ini.

Iklan

Menurut Pengarah Eksekutif Institut Darul Ehsan, Datuk Ismail Yusop, menyelesaikan kemelut ekonomi negara dan kestabilan politik dilihat memberi cabaran besar kepada Anwar dan barisan kabinet Kerajaan Perpaduan yang bakal dibentuk.

"Itu ada kaitan dengan sistem urus tadbir tata kelola kenegaraan kita. Di Parlimen sama ada pihak kerajaan atau pembangkang, peranan dan fungsi mereka adalah sebagai penggubal dasar.

"Apa-apa yang nak dilaksanakan oleh kerajaan sama ada kecil atau besar, ia akhirnya dipandu arah oleh keputusan yang dibuat dalam Parlimen untuk menyelesaikan soal kemelut ekonomi, kestabilan politik dan membawa kembali negara di atas landasan,” katanya ketika menjadi panelis Program Sinar Live bertajuk ‘Cabaran Kabinet Kecil Anwar’ baru-baru ini.

Seorang lagi panelis iaitu Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berpendapat, persoalan sama ada pembentukan kabinet Anwar besar atau kecil bergantung kepada dua faktor.

Katanya, faktor yang pertama ialah kompetensi dan keupayaan individu yang dilantik menjadi menteri dan keduanya, memenuhi keperluan parti-parti yang bergabung membentuk Kerajaan Perpaduan.

Berikutan itu, beliau berkata, mungkin timbul isu ketidakpuasan hati atau mereka mahu menuntut lebih jawatan.

"Jadi, untuk memastikan kestabilan kerajaan ini, tentunya Perdana Menteri akan mengambil pelbagai faktor agar setiap parti yang bergabung dapat memainkan peranan dan berfungsi sebagai badan gabungan atau Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin ketika menjadi panelis Program Sinar Live bertajuk ‘Anwar PM10: Harapan Baharu Rakyat Malaysia’ baru-baru ini berpandangan, pembentukan kabinet dan pembentangan Bajet 2023 dijangka akan menjadi kayu ukur prestasi 100 hari pertama Anwar sebagai Perdana Menteri.

Ujar beliau, ia akan menjadi cabaran kepada Kerajaan Perpaduan terutamanya dalam menentukan hala tuju negara.

Bagi Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad pula, beliau berpandangan, amat penting bagi mengelakkan timbulnya isu selepas pembentukan kerajaan selain meletakkan satu piawaian tinggi berdasarkan integriti sebagai menteri.

"Kalau sudah memang disabitkan (kes mahkamah), maka tidak patut berada dalam kabinet walaupun belum ditentukan bersalah atau tidak, (peringkat) rayuan atau sebagainya.

"Yang terbaik dan paling ideal, saya fikir tidak meletakkan mereka (yang ada kes mahkamah) dalam kabinet supaya tidak timbul isu kelak selain rakyat sangat menekankan selepas PRU14 pada 2018 lalu hingga kini adalah soal rasuah,” katanya dalam program SinarLive bertajuk ‘Kabinet Bayangan Anwar Ibrahim’ baru-baru ini.

Apa pun keputusannya, barisan kabinet Kerajaan Perpaduan yang diumumkan Perdana Menteri nanti, pasti akan memikul satu tanggungjawab besar.

Cuma yang menjadi harapan rakyat, barisan kabinet yang akan dilantik nanti dapat melakukan tugas dengan sebaik-baiknya.

*Nurhazlin Lydia M Nazri ialah Penolong Penerbit (Program) Sinar Harian