Pertahan kebebasan institusi kehakiman

Iklan
Hussamuddin

SHAH ALAM - Pengekalan kebebasan badan kehakiman amat penting untuk mencapai objektifnya dalam mengangkat kedaulatan undang-undang dan memastikan keadilan sepenuhnya berfungsi untuk rakyat.

Justeru, Ketua Pasukan #RasuahBusters, Datuk Hussamuddin Yaacub mengalu-alukan kenyataan Majlis Raja-Raja yang menzahirkan cadangan agar pelantikan lima daripada sembilan anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) tidak lagi dibuat oleh Perdana Menteri.

Iklan
Iklan

Ia sekali gus memastikan keanggotaan suruhanjaya itu lebih seimbang dan tidak membawa kepentingan mana-mana pihak.

"Bagi memastikan institusi kehakiman yang bebas, prosesnya harus bermula dengan pelantikan yang telus, berintegriti dan memenuhi kriteria yang disandarkan kepada prinsip perundangan yang termaktub di dalam undang-undang dan perlembagaan.

Iklan

"Perbincangan dengan anggota badan kehakiman sedia ada juga harus diambil kira agar perubahan berjaya dicapai dengan menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Hussamuddin menambah, penilaian para hakim sangat berharga bagi setiap rakyat Malaysia dan sebarang keputusan penghakiman turut mempengaruhi perspektif masyarakat.

Iklan

Jelasnya, sistem perundangan yang terhasil daripada lantikan yang telus dan berkredibiliti juga memberi kesan kepada kepercayaan pelaburan antarabangsa yang memerlukan jaminan kontrak mereka dipenuhi dengan akses keadilan yang saksama.

"Mekanisme yang jelas dengan kaedah lantikan hakim yang kompeten, bebas dengan pematuhan terhadap prinsip yang ditetapkan oleh undang-undang akan dapat memastikan negara ini terus dihormati dan tidak tercemar dengan campur tangan politik.

"Inilah nilai keadilan yang dikehendaki oleh rakyat,” tegasnya.

Majlis Raja-Raja pada Rabu mencadangkan pelantikan lima ahli JAC tidak dibuat oleh Perdana Menteri sebaliknya perlu diberi kepada institusi lain seperti Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Undang-Undang Sabah, Persatuan Peguam bela Sarawak dan Jawatankuasa Pemilih Parlimen.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah, dengan kaedah sebegini, keanggotaan JAC lebih seimbang dan tidak membawa kepentingan kepada mana-mana pihak.