SEREMBAN - Seramai 47 penghuni di 12 unit rumah di Taman Bukit Berlian di sini dinasihatkan untuk mengosongkan kediaman mereka selepas berlaku kejadian tanah runtuh pada Khamis.
Kejadian pada jam 2.50 pagi itu menyebabkan tiga buah kenderaan milik sebuah keluarga iaitu Kia Forte, Honda City dan Toyota Avanza terjunam ke dalam cerun yang runtuh.
Penduduk Jecissa Lee, 28, berkata, ketika kejadian, dia serta lapan ahli keluarga termasuk datuk dan nenek sedang nyenyak tidur.
"Saya terjaga dari tidur bila terdengar jiran menjerit beritahu berlaku tanah runtuh di hadapan rumah.
"Bila keluar, saya tengok kereta jenis Kia Forte, Honda City dan Toyota Avanza milik ahli keluarga yang dipakir di hadapan rumah jatuh ke dalam cerun yang runtuh," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Jessica berkata, bimbang kejadian lebih buruk berlaku dia sekeluarga membuat keputusan untuk berpindah ke pusat penempatan sementara (PPS) yang akan disediakan kerajaan negeri.
"Nak terus tinggal di sini pun risau. Kami semua tak dapat tidur bila tahu kejadian ini ditambah pula dengan keadaan cuaca tidak menentu sekarang," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban, Mohammad Idris berkata, selain berlaku tanah runtuh di cerun sedalam kira-kira 10 meter, turut berlaku rekahan jalan sepanjang 80 meter di laluan hadapan rumah penduduk.
"Pihak bomba masih melakukan tinjauan pagi ini (Khamis) dan agensi lain yang terbabit juga berada di lokasi bagi memantau dan mengenal pasti situasi pergerakan tanah yang berlaku.
"Daripada pemerhatian awal, enam rumah mungkin terjejas dan berisiko, tetapi bagi mengelak kejadian tidak diingini, kita nasihatkan kesemua penghuni di 12 buah rumah di Lorong 5 taman berkenaan untuk berpindah sementara," katanya.
Jelasnya, dengan keadaan cuaca tidak menentu kebelakangan ini dibimbangi akan berlaku pergerakan tanah.