JOHOR BAHRU - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 Pengerang berjaya mematahkan cubaan menyeludup 970 ekor burung terlindung dari jenis murai kampung, semalam.
Dalam operasi dilancarkan PPM Wilayah 2 Pengerang dengan kekuatan lima anggota pada sekitar 11.30 malam di Pantai Kampung Simon, Teluk Ramunia, sejumlah 97 kotak berisi 970 ekor burung murai kampung berjaya dirampas.
Komander PPM Wilayah 2, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, hasil maklumat dan intipan dilakukan mendapati sekumpulan lelaki dilihat memunggah kotak-kotak dari kenderaan ke tepi pantai.
"Semasa serbuan dilakukan kenderaan dan sekumpulan lelaki tersebut berjaya memboloskan diri dengan memecut kenderaan serta melarikan diri.
"Rampasan dibawa balik ke Markas Taktikal PPM Wilayah 2 Pengerang untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Khon Chiang berkata, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM29,100 dan kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.