KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu menyasarkan menerima pelaburan sebanyak RM5 bilion pada tahun hadapan.
Exco Perdagangan, Perindustrian, Pelaburan, Wilayah dan Kesejahteraan Bandar Negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar berkata, jumlah itu dijangka meningkat kerana ada projek yang kini dalam proses rundingan.
Menurutnya, antara cadangan pelaburan pada tahun hadapan adalah industri berasaskan pembuatan kaca di Teluk Kalong, Kemaman, industri berasaskan pembuatan seramik di Cheneh dan pemprosesan serta penghantaran barang di Batu Rakit.
"Bagi tahun ini pula, jumlah pelaburan yang berjaya dicapai kerajaan negeri berdasarkan data daripada agensi-agensi pelaburan di Terengganu dalam tempoh Januari hingga Oktober adalah sebanyak RM3.76 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Saiful Azmi Suhaili (Pas-Kemasik) mengenai jumlah pelaburan telah berjaya kerajaan capai pada tahun ini dan sasaran tahun 2023 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Khamis.
Tengku Hassan berkata, antara sektor pelaburan yang diperoleh tahun ini adalah produk berasaskan besi, pembinaan awam, pelancongan, perlombongan, tenaga hijau, logistik, produk kimia, perkhidmatan dan produk kayu.
Jelas beliau, pelaburan yang dicapai sepanjang 10 bulan pertama tahun ini berjaya membuka 4,051 peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
Menjawab soalan tambahan mengenai sektor pelaburan lain yang bakal diberi tumpuan pada tahun hadapan, Tengku Hassan memaklumkan kerajaan negeri berminat meneroka sumber lain termasuk unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE).
"Bagaimanapun, banyak isu perlu diselesaikan terlebih dahulu dan prosedur operasi standard (SOP) kilang di Perak bakal menjadi contoh,” katanya.