Ibu tiga anak dipenjara 10 bulan kerana mencuri

Iklan
Farah Munirah dipenjara 10 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Melaka kerana mencuri.

MELAKA - Seorang wanita dipenjara 10 bulan selepas mengaku bersalah mencuri seluar, singlet dan seluar dalam lelaki berjenama di Mahkamah Majistret di sini, pada Khamis.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap Farah Munirah Zahari, 34, sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan niat curang mencuri tujuh helai seluar berjenama, sebungkus singlet jenama Renoma dan tiga kotak seluar dalam jenama yang sama bernilai RM1256.60 milik pasar raya Aeon Bandaraya Melaka kira-kira jam 1.50 petang, pada 24 November lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan boleh dikenakan denda. Bagi kesalahan kedua atau kemudiannya boleh dihukum penjara dan boleh dikenakan denda atau sebat.

Iklan

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan dengan alasan tiga anaknya masih kecil selain ibunya menghidap sakit kanser dan perlu menjalani rawatan kemoterapi.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Sharina Farhana Nor Sa’ari memohon hukuman setimpal diberikan kepada tertuduh dengan mengambil kira dia mempunyai dua rekod lampau membabitkan kesalahan sama beberapa tahun lalu.

Iklan

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan dari tarikh ditangkap pada 24 November lalu.

Di mahkamah sama, tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 2003) dan hendaklah menjalani pengawasan di bawah Seksyen 38(B) akta sama atas kesalahan memberikan kepada diri sendiri dadah jenis heroin pada hari ditangkap.

Atas kesalahan itu, dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali dan perintah pengawasan selama dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula pada 10 Januari tahun depan bagi laporan patalogi dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin.