KUANTAN - Dinamik politik sukar dijangka boleh menyebabkan blok parti yang bermusuhan menjadi kawan.
Calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Datuk Seri Mohd Johari Hussain berkata, itu perubahan politik semasa yang berlaku di Pahang di antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
"Namun yang penting matlamatnya adalah untuk kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan Rakyat Pahang amnya dan warga DUN Tioman khususnya. Lihatlah kerjasama ini dalam sudut yang paling positif," katanya pada Khamis.
Pada Selasa, Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli memaklumkan PH mengambil keputusan memberi laluan kepada calon BN, Mohd Johari dalam pemilihan PRU15 DUN Tioman.
Keputusan itu dibuat selepas Wan Rosdy bersetuju untuk bersama-sama bergabung bagi membentuk Kerajaan Perpaduan apabila semua parti tidak memiliki majoriti mudah.
Pahang mempunyai 42 kerusi DUN daripada jumlah itu PN beroleh 17 kerusi, BN pula sebanyak 16 dan PH hanya lapan kerusi.
Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan PRU15 bagi DUN Tioman yang ditangguhkan susulan kematian calon PN, Allahyarham Md Yunus Ramli pada jam 3.30 pagi hari pengundian 19 November lalu diadakan pada 7 Disember ini.
Calon PH, Mohd Fadzli Mohd Ramly mencabar calon BN, Mohd Johari dan tiga lagi dari calon Perikatan Nasional (PN), Nor Idayu Hashim, Oman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (Bebas).
Mohd Johari menjelaskan semangat perpaduan yang telah dicetuskan ini akan diterjemahkan juga kepada rakyat di Pahang.
Katanya, gabungan antara BN dan PH yang menubuhkan sebuah Kerajaan Perpaduan dapat mencetuskan keharmonian, kesejahteraan, kelangsungan politik dan ekonomi stabil serta perpaduan kaum pada ketika ini.
"Ini antara perkara yang yang jarang-jarang berlaku di Pahang khususnya di DUN Tioman. Tapi inilah orang kata warna warni politik ada di Pahang dan negara Malaysia secara umumnya.
"Walaupun ketika ini berbeza pendapat tetapi hala tuju dapat kita kongsi bersama seperti mana yang kita lihat gabungan PH dan BN, sedangkan UMNO sendiri tidak pernah terlintas dengan perubahan era politik baharu ini," jelas beliau.