PORT DICKSON - Kegigihan seorang ejen hartanah berulang alik dari Bahau, Jempol ke program Minggu Amanah Saham Malaysia (MSAM) di Port Dickson berbaloi apabila memenangi hadiah pertama program e-Peraduan Utama berupa sebuah kereta elektrik Hyundai Kona E-Lite yang berharga RM156,000.
Malah Mohd Safari Hamizan, 47, yang sering menyertai peraduan dianjurkan oleh pelbagai pihak menyifatkan hadiah dimenangi sebagai rezeki terpijak.
"Memang sejak muda saya suka sertai apa saja peraduan yang tawarkan hadiah lumayan dan MSAM ini saya telah ikuti sejak tahun 2017 lagi.
"Bila saya tengok hadiah utama yang ditawarkan, saya nekad mencuba nasib dan sebab itu sepanjang tujuh hari program MSAM ini diadakan, saya akan datang dan nampaknya kali ini tuah berpihak kepada saya," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menurutnya, kereta dimenangi merupakan hadiah paling besar diperolehinya sepanjang menyertai peraduan dianjurkan pelbagai pihak.
Selain itu katanya, buat masa ini dia tidak pasti sama ada mahu menggunakan kereta berkenaan atau menjualnya.
Bagi pemenang hadiah kedua peraduan itu iaitu sebuah kereta jenis Toyota Corolla Cross Hybrid Electric, Shahril Dasti, 46, berkata, dia tidak pernah terfikir untuk memenangi sebarang hadiah dan percubaannya mengikuti peraduan itu sekadar suka-suka.
"Ia bagi mengisi masa lapang sementara menunggu isteri berkursus di Port Dickson dan ini juga merupakan peraduan pertama yang saya sertai sepanjang hidup.
"Saya pun tak diberitahu akan menang tiga hadiah utama, cuma dihubungi pihak penganjur yang meminta untuk datang," katanya.
Dia yang bekerja sebagai pengurus kolej kediaman Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang berkata, tidak berhasrat untuk menjual kereta itu kerana menganggapnya sebagai kenangan terindah.
Selain itu tuah juga buat seorang wanita hamil lapan bulan, Afzatul Marwa Ahmad, 27, apabila memenangi hadiah tempat ketiga sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza.
"Saya tidak pernah menang apa-apa pun walaupun cabutan bertuah. Jadi saya rasa mustahil untuk menang hadiah ini.
"Kemenangan ini mungkin rezeki mengandung anak pertama dan saya berhasrat hadiahkan kereta ini kepada ayah saya," katanya.