GEORGETOWN - Tindakan kerajaan Pulau Pinang meletakkan puluhan beg berisi pasir di sepanjang pesisiran pantai awam di belakang sebuah hotel terkenal di Batu Ferringhi sejak beberapa bulan lalu menyebabkan kawasan pantai tersebut hilang seri.
Lebih memburukkan keadaan, tapak yang diletakkan beg pasir tersebut runtuh sejak beberapa minggu lalu kerana dipukul ombak kuat.
Keadaan itu menyebabkan pemandangan kawasan tersebut kurang menarik sekali gus tidak menarik minat pelancong untuk singgah di situ.
Operator sukan air, Anuar Abdul Aziz berkata, keadaan pesisiran pantai yang menyakitkan mata itu menyebabkan pelancong beredar setelah mendapati ia tidak menarik selain membahayakan keselamatan mereka.
Menurutnya, perkara itu menyebabkan pendapatannya bersama rakan-rakan lain yang menjalankan perniagaan sukan air di situ terjejas kerana kurang pelancong yang singgah.
"Pantai di sini jadi tak cantik selepas kerajaan negeri meletakkan beg pasir di pesisiran pantai untuk menahan ombak. Keadaan menjadi lebih buruk kerana tapak yang diletakkan beg pasir itu masih lagi terhakis.
"Beg pasir yang mendap memburukkan lagi keadaan kerana ia membuatkan pemandangan di pesisir pantai nampak tidak cantik. Pelancong nak datang main sukan air dan berkelah pun tiada 'mood'.
"Keadaan ini membuatkan pelancong beralih ke kawasan lain sekali gus menjejaskan pendapatan kami yang berniaga di sini," katanya ketika ditemui di pesisir pantai di Batu Ferringhi di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NV Subbarow berkata, masalah hakisan pantai di kawasan pesisiran pantai itu telah lama berlaku dan kerajaan negeri telah mengambil tindakan tersebut.
Bagaimanapun katanya, tindakan kerajaan negeri itu tidak sesuai kerana ia dilihat memburukkan lagi keadaan di situ selain membahayakan keselamatan awam.
"Hakisan masih berlaku malah lebih teruk. Saya rasa ia satu pembaziran kerana tindakan susulan yang diambil kerajaan negeri ini tidak berjaya menyelesaikan masalah sedia ada. Jika dilihat, beg pasir yang diletakkan tidak kukuh.
"Ia amat berbahaya kepada pelancong terutamanya pada kanak-kanak yang datang untuk beriadah di sini. Saya mohon kerajaan negeri menilai semula projek ini selain mencari jalan untuk menyelesaikan masalah hakisan pantai di sini," katanya.
Sementara itu, Exco Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan segera membaiki runtuhan beg-beg pasir di pesisir pantai berkenaan memandangkan dijangka ombak besar akan berlaku minggu depan.
Kata beliau, penyelesaian untuk tempoh jangka masa panjang seperti 'sheet piles' akan menelan kos tinggi hingga jutaan ringgit, kerajaan negeri tidak mampu untuk membiayainya buat masa ini.