KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada Khamis meluluskan pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2022 bagi memperkasakan pelaksanaan undang-undang syariah di negeri itu.
Exco Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu, Datuk Satiful Bahri Mamat berkata, pindaan itu juga bertujuan menambah baik Enakmen Kesalahan Syariah Jenayah (Takzir) Terengganu 2001 yang merangkumi tambahan empat seksyen baharu dan 21 pindaan seksyen sedia ada.
Jelas beliau, empat seksyen baharu itu melibatkan tambahan Seksyen 3A (perbomohan dan sihir), 29A (hamil atau melahirkan anak luar nikah), 33A (perempuan berlagak lelaki) dan 36A (persediaan melakukan liwat).
"Beberapa penambahan dan pindaan telah dibuat di mana asas kepada pindaan ini antaranya bagi menggantikan mengikut terma semasa.
"Kita cuba manfaatkan ruang yang ada dengan memaksimumkan hukuman berdasarkan peruntukan 356 iaitu tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas persidangan DUN di sini pada Khamis.
Menurut Satiful, pindaan enakmen itu tepat pada masanya memandangkan lebih 20 tahun ia digubal dan kali terakhir pindaan dibuat pada 2016 dengan hanya melibatkan lima seksyen.
Mengulas mengenai Seksyen 3A (perbomohan dan sihir), Satiful berkata, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) telah menubuhkan satu jawatankuasa menyelaras telah ditubuhkan untuk memantau perkara tersebut.
"Penubuhan unit tersebut bagi memastikan umat Islam mendapatkan rawatan alternatif yang tidak bercanggah dengan hukum syarak dan selari serta tiada unsur-unsur yang bertentangan Islam.
"Begitu juga dengan hukuman perempuan berlagak seperti lelaki. Enakmen yang ada sebelum ini ialah lelaki menyerupai perempuan sahaja. Sebab itulah ia diwujudkan kerana trend itu dilihat semakin berleluasa kebelakangan ini," kata beliau.
Dalam pada itu, Satiful berkata, kerajaan negeri berharap supaya dengan adanya hukuman itu ia dapat menjamin kesejahteraan seluruh rakyat beragama Islam di negeri itu.
Katanya, penguatkuasaan enakmen itu akan mula dilaksanakan setelah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
"Kita harap dengan adanya pindaan enakmen ini, ia dapat menjamin dan menjaga umat Islam untuk mencapai sasaran masyarakat kita ke arah maju, berkat dan sejahtera.
"Kita juga berharap agar ia dapat menjamin kesejahteraan bukan hanya melibatkan akidah dan fiqah sahaja malah termasuk akhlak yang sekali gus membawa masyarakat (Islam) negeri ini menepati ciri-ciri Terengganu Darul Iman," katanya.