JOHOR BAHRU - Penekanan mengenai isu kebersihan sungai dan pemantapan sumber air bersih di negeri ini menjadi perkara yang harus diberikan keutamaan Menteri Besar Johor yang baharu.
Ingatan itu dititahkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ketika Istiadat Pelantikan Menteri Besar Johor ke-17, Dr Sahruddin Jamal yang berlangsung di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, pagi tadi.
"Saya harap beliau akan dapat memikul tanggungjawab dengan jujur, ikhlas dan amanah, serta mengutamakan kepentingan negeri berbanding kepentingan diri atau politik, demi kesejahteraan hidup rakyat dan kemakmuran ekonomi Johor.
ARTIKEL BERKAITAN: Sahruddin angkat sumpah MB baharu Johor
"Saya juga mahukan beliau memberi keutamaan kepada isu pencemaran sungai bagi memastikan sumber air mentah sentiasa bersih dan mampu bertahan untuk jangka masa panjang,” titah baginda menerusi kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi baginda, sebentar tadi.
Sultan Ibrahim bertitah, kedaulatan Johor, kesucian agama Islam dan keistimewaan orang Melayu juga hendaklah sentiasa dipelihara daripada diganggu-gugat oleh pihak luar yang berselindung di sebalik perjuangan hak asasi manusia.
Sementara itu, baginda turut memberi ingatan kepada pihak kerajaan supaya tidak lagi membuang masa dengan bercakap mengenai perkara yang tidak berfaedah, menabur fitnah dan mereka-reka cerita hanya untuk menarik perhatian atau mengelirukan rakyat.
"Sebaliknya, tumpukanlah perhatian untuk membantu kehidupan rakyat yang susah dan meningkatkan kemajuan ekonomi negara.
"Sesungguhnya Kerajaan Johor telah lama wujud dan mempunyai adat dan cara pemerintahan yang tersendiri. Tidak perlu ada pihak luar yang sibuk melompat-lompat tidak tentu arah bercerita tentang siapa yang berkuasa dan bagaimana untuk mentadbir negeri ini,” katanya.