TUNISIA tersingkir daripada kancah Piala Dunia Qatar 2022 secara bermaruah setelah mengejutkan juara bertahan Perancis 1-0 pada aksi terakhir Kumpulan D awal pagi Khamis.
Jurulatihnya, Jalel Kadri berkata, kejayaan itu membuatkan penyokong mereka gembira dan berasa bangga, biarpun keputusan tersebut tidak cukup buat mereka untuk mara ke pusingan kalah mati.
Tunisia memerlukan kemenangan, namun dinafikan Australia yang mengalahkan Denmark 1-0 untuk mengiringi Perancis yang sudah mengesahkan tempat ke kelompok 16 terbaik.
"Ia adalah kemenangan bersejarah ke atas pasukan juara bertahan. Kami mahu layak ke pusingan berikutnya kerana ia adalah sasaran utama.
"Malangnya kami terkeluar daripada saingan kejohanan tetapi kami meninggalkan perlawanan dengan perasaan yang cukup bangga dan terhormat,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Tunisia menamatkan saingan di tempat ketiga dengan mengumpul empat mata dan gagal melepasi pusingan pertama dalam enam penampilan di Piala Dunia.
"Bukan mudah memperoleh tiga mata ini, hanya satu aksi kami tidak berada pada tahap yang dijangkakan dan ia adalah ketika berdepan Australia,” katanya.
Tunisia memulakan kempen dengan keputusan seri tanpa jaringan berdepan Denmark kemudian kelihatan penat ketika tewas 0-2 kepada Australia.