PUTRAJAYA - Pembentukan kabinet Kerajaan Perpaduan hampir pasti tidak berlaku dalam masa terdekat.
Ia selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta jam 10 pagi pada Jumaat.
Setelah itu Anwar menghadiri program walkabout dan sesi beramah mesra di Pasar Tanjung Rambutan.
Beliau kemudiannya akan menunaikan solat Jumaat dan program Kenduri Rakyat di Masjid Muhammad Al-Fateh, Taman Jati, Ipoh selepas memenangi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pula berangkat ke Pekan Pahang untuk solat Jumaat dan majlis pengurniaan bot serta sumbangan kepada asnaf.
Al-Sultan Abdullah turut dijadualkan berangkat ke luar negara pada Sabtu ini.
Sementara itu, agensi berita melaporkan Anwar memohon penangguhan untuk mengumumkan senarai kabinet kepada minggu hadapan berikutan memerlukan lebih banyak masa.
Ia menjadikan Anwar telah bekerja enam hari secara keseorangan tanpa kabinet selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 25 November lalu.
Bagaimanapun tempoh itu dilihat masih relevan bagi setiap pemimpin yang dilantik menjawat jawatan tersebut.
Sebelum ini, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin memerlukan lapan hari sebelum mengumumkan senarai kabinet masing-masing.
Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-lapan pada 10 Mei 2018 selepas Pakatan Harapan menumpaskan BN pada PRU14.
Muhyiddin pula mengangkat sumpah pada 1 Mac 2020 selepas 22 bulan kerajaan Persekutuan diterajui Dr Mahathir berakhir.
Bagaimanapun Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hanya memerlukan lima hari untuk mengumumkan senarai kabinet selepas beliau mengangkat sumpah pada 21 Ogos 2021.