KEGEMBIRAAN para penyokong The Atlas Lions meraikan kemaraan Maghribi ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia Qatar 2022 di Qatar berakhir dengan rusuhan yang menyaksikan penahanan 35 orang di Antwerp, Belgium pada Khamis.
Polis menutup bahagian kawasan Turnhoutsebaan di Borgerhout dan Sint-Bernardsesteenweg di Hoboken, selepas orang ramai mula turun meraikan kemenangan Maghribi menentang Kanada, dengan sebahagian daripadanya membakar bunga api.
Iklan
Iklan
Pekerja sosial dan pemimpin masyarakat setempat juga cuba mengelakkan konfrontasi para penyokong dengan membentuk rantaian manusia di persimpangan Turnhoutsebaan dan Ommeganckstraat.
Bagaimanapun, terdapat beberapa penyokong bertindak agresif apabila membaling bunga api dan menghalang jalan di kedua-dua lokasi, menurut polis.
Di Sint-Bernardsesteenweg, polis terpaksa mengunakan meriam air selepas pegawai berpakaian biasa dikepung, menyaksikan lima penyokong ditahan.
Di Turnhoutsebaan pula, pihak berkuasa menahan dalam kalangan 30 perusuh dalam insiden yang menyaksikan tiga pegawai polis mengalami kecederaan.
"Adalah amat dikesalkan mereka menjadi mangsa bunga api dan dibaling dengan batu,” kata jurucakap polis, Willem Migom