RANTAU PANJANG - Penduduk di Kampung Tasek Bakong di sini membina sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) sendiri untuk menghadapi banjir pada musim tengkujuh ini.
PPS yang hanya dilengkapi atap zink dan berlantaikan tanah serta kemudahan air daripada sebuah perigi itu dibina secara bergotong-royong oleh penduduk dan dijangka dapat memuatkan sebanyak 20 keluarga.
Wakil penduduk, Muhammad Kamarulzaman Daud, 37, berkata, mereka terpaksa berbuat demikian kerana 'trauma' dengan kejadian yang berlaku pada musim banjir November lalu.
"Kami terpaksa melalui saat getir ketika itu apabila dua PPS yang kami sentiasa huni sebelum ini iaitu surau Tasek Bakong dan Masjid Mukim Padang Licin penuh sehingga tidak dapat menampung mangsa banjir yang ramai.
"Kami tidak mahu menggadaikan nyawa sendiri serta keluarga kerana trend banjir di sini tidak seperti dahulu, apabila air naik cepat serta dalam sejak projek tebatan banjir dibuat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini pada Jumaat.
Menurutnya, kampung tersebut mempunyai 100 buah rumah dengan jumlah penduduk sekitar 500 orang.
Mengulas lanjut katanya, banjir yang berlaku pada Februari dan November lalu menyebabkan penduduk terpaksa menumpang di rumah saudara mara yang tidak banjir tetapi jaraknya jauh.
Bagi Zakaria Mohamad, 58, hasrat untuk membina PPS sendiri itu disokong olehnya dan penduduk lain dengan melancarkan tabung kutipan bagi mengumpulkan dana.
"Walaupun kami hanya bekerja sebagai petani dan penoreh getah tetapi demi nyawa sedikit sebanyak kami sumbangkan.
"Setakat ini sudah RM4,000 terkumpul dan melihat kepada bahan-bahan binaan yang perlu dibeli, kami masih memerlukan sekitar RM15,000 lagi," katanya.
Zakaria memberitahu, bantuan daripada orang ramai sangat diperlukan bagi menyiapkan PPS itu dengan segera apatah lagi ketika ini sudah pun memasuki musim tengkujuh.
Bagi tukang rumah, Alias Sulaiman, 52, pula memberitahu, dia serta beberapa rakannya sanggup bersengkang mata dan tidak rehat untuk menyiapkan PPS berkenaan.
"Kami buat dengan ikhlas tanpa upah asalkan PPS ini cepat siap kerana cuaca semakin buruk.
"Hanya orang yang pernah lalui bencana banjir akan memahami perasaan kami. Bila air sudah melimpah ke dalam rumah tetapi kami tidak mempunyai tempat yang selamat hendak dituju, perasaan takut, cemas, sedih semua bercampur baur," katanya.
Sementara itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya melalui akaun CIMB 7611240608 atas nama Mohd Mansur Ibrahim atau hubungi 014-8121223.